Singapore Airlines tawar pampasan kepada mangsa insiden gelora udara

Singapore Airlines tawar pampasan kepada mangsa insiden gelora udara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Singapore Airlines menawarkan bayaran pampasan kepada penumpang yang cedera  akibat insiden gelora udara teruk ketika penerbangan dari London ke Singapura bulan lalu.

Menerusi catatan di Facebook, syarikat penerbangan itu berkata, pihaknya akan membayar AS$10,000 (RM47,197) kepada mereka yang mengalami kecederaan ringan.

Bagi penumpang yang mengalami kecederaan yang lebih serius, syarikat penerbangan itu menyediakan bayaran pendahuluan sebanyak AS$25,000 (RM117,992) untuk memenuhi keperluan segera mereka dan perbincangan lanjut akan dilakukan bagi memenuhi sebarang keadaan khusus.

Singapore Airlines berkata, pihaknya juga akan menawarkan bayaran balik penuh tambang kepada semua penumpang dalam penerbangan itu, termasuk mereka yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

Selain itu, penumpang juga akan menerima pampasan kelewatan mengikut peraturan Kesatuan Eropah (EU) atau United Kingdom (UK).

Syarikat penerbangan itu juga menawarkan wang tunai berjumlah AS$739 (RM3,487) kepada semua penumpang untuk menampung perbelanjaan segera dan mengatur penerbangan waris ke Bangkok jika perlu.

Seorang penumpang warga Britain berusia 73 tahun maut dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila penerbangan SQ 321 mengalami gelora udara di Myanmar sebelum dilencongkan ke Thailand pada 21 Mei lalu.

Lebih 100 penumpang dirawat di hospital Bangkok selepas kejadian itu.

Terdapat 211 penumpang termasuk ramai warga Britain, Australia dan Singapura bersama 18 anak kapal di dalam pesawat Boeing 777-300ER ketika kejadian.

Siasatan awal menunjukkan pesawat itu memecut naik dan turun dengan pantas, sebelum menjunam sekitar 54 meter selama 4.6 saat.

Penumpang menggambarkan bagaimana anak kapal dan mereka yang tidak memakai tali pinggang keledar merempuh siling kabin.

Di bawah peraturan antarabangsa, syarikat penerbangan mesti menawarkan pampasan apabila penumpang cedera atau meninggal dunia semasa berada di dalam pesawat.

Insiden itu menarik perhatian dunia mengenai amalan pemakaian tali pinggang keledar, kerana syarikat penerbangan biasanya membenarkan penumpang membukanya semasa keadaan pelayaran biasa.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×