KLUANG: Gelap mata dengan hasil keuntungan berjumlah RM48,000 yang dibayar secara berperingkat-peringkat, akhirnya seorang wanita mengalami kerugian RM358,120 selepas wang dimasukkannya dalam empat akaun berbeza tidak mendapat ‘pulangan’ yang diharapkan.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, mangsa yang berusia 37 tahun dan bekerja sebagai penjawat awam itu menjadi mangsa selepas terpengaruh dengan iklan pelaburan berasaskan saham dari negara China dan menggunakan kumpulan WhatsApp a088 Primco Malaysia Club.
“Pada 25 April lalu mangsa telah melayari satu pautan dalam Facebook sebelum disambungkan ke aplikasi WhatsApp dan berhubung dengan suspek menyatakan minat untuk menyertai pelaburan yang diiklankan.
“Bermula 25 April lalu mangsa telah membuat 53 transaksi ke empat akaun berbeza termasuk wang keuntungan hasil pelaburan awal dengan jumlah keseluruhan RM358,120 kononnya untuk mendapatkan pulangan lumayan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Mangsa yang mula menyedari tidak lagi mendapat pulangan kemudiannya membuat pencarian dalam laman sosial itu sebelum mendapati bahawa pelaburan tersebut tidak wujud.
Berikutan laporan yang diterima pada 8 Jun lalu, pihaknya membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebatan atau denda, jika sabit kesalahan.
Sekiranya menyedari menjadi mangsa penipuan, orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi taliban National Scam Response Centre (NSRC) menerusi talian 997 sebagai tindakan awal menyekat pengaliran keluar wang ke dalam akaun suspek. – UTUSAN









