PETALING JAYA: Ketika Sukan Olimpik Paris 2024 semakin hampir, jangkaan untuk atlet Malaysia cemerlang dalam acara terbesar itu sepatutnya meningkat.
Sebaliknya, prestasi atlet badminton negara terutamanya daripada program sokongan khas, Road To Gold (RTG) dilihat hambar pada tiga kejohanan terakhir Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky mengakui prestasi pemain yang di bawah program RTG tidak menunjukkan prestasi yang diharapkan oleh barisan kejurulatihan badan induk berkenaan.
“Terdapat banyak kerja dan latihan yang perlu dilakukan oleh pemain RTG. Hal ini kerana apa yang saya lihat mereka tidak menunjukkan prestasi setanding sejak awal tahun lalu.
“Sebaliknya, pemain bukan RTG yang mampu memberi saingan dan prestasi yang terbaik sejak tiga jelajah yang padat ini berlalu .Kita boleh lihat Man Wei Chong-Tee Kai Wun menjadi naib juara Terbuka Indonesia 2024.
“Begitu juga beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang mengungguli Malaysia Masters 2024. Mereka ini semua bukan pemain RTG,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Antara pemain yang akan ke Paris ialah pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, Goh Jin Wei (perseorangan wanita), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah,(beregu wanita) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).
Hanya Zii Jia dan Jin Wei terkecuali daripada program sokongan khas RTG.
Sejak kekalahan separuh akhir Malaysia kepada China pada Piala Thomas lalu, Zii Jia menjadi pemain yang menonjol, merangkul kejuaraan Terbuka Thailand, Mei lalu dan menamatkan saingan sebagai naib juara Malaysia Masters pada minggu berikutnya.
Bagaimanapun, pada Terbuka Singapura dua minggu lalui, Malaysia ditinggalkan dengan empat wakil di suku akhir, di mana semuanya tersungkur.
Saingan Terbuka Indonesia yang berstatus Super 1000 menyaksikan barisan pemain Olimpik turut gagal mempamerkan prestasi tinggi apabila, beregu sandaran negara, Aaron-Wooi Yik terkandas di pusingan kedua.
Turut tersingkir Pearly-Thinaah yang hanya mampu meloloskan diri ke suku akhir selain beregu campuran, Tang Jie-Ee Wei menunjukkan prestasi memalukan apabila gagal melepasi saingan pembukaan.
Dengan itu tamat bagi barisan pemain RTG menyertai Jelajah BWF dan kini fokus kepada latihan bagi ke Paris yang akan membuka tirainya pada 27 Julai ini.
Hanya Zii Jia akan ke Terbuka Australia yang dijadualkan berlangsung hari ini bagi persiapan terakhirnya sebelum acara empat tahun sekali itu bermula. – UTUSAN











