Polis berkas 17 suspek, rampas pelbagai dadah RM8.64 juta

Polis berkas 17 suspek, rampas pelbagai dadah RM8.64 juta

KHAW Kok Chin (empat dari kiri) menunjukkan antara bahan kimia yang digunakan untuk memproses dadah yang dirampas bersama pelbagai jenis bahan larangan itu dalam sidang akhbar Balai Polis Semenyih, Selangor, semalam. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH: Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar dadah yang berselindung di sebalik syarikat pengawal keselamatan dalam serbuan di sekitar Lembah Klang, Rabu lalu.

Taktik sindiket yang menjalankan aktiviti secara pindah-randah itu dibongkar menerusi sembilan serbuan termasuk di kediaman dijadikan makmal dan stor haram membabitkan rampasan dianggarkan bernilai RM8.64 juta.

Serbuan pada 5 Jun lalu oleh pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman menahan 17 individu termasuk dalang utama, berusia antara 18 tahun hingga 50 tahun.

Pengarah JSJN, Datuk Khaw Kok Chin berkata, serbuan bermula pukul 1.10 petang sehingga 9.30 malam itu dijalankan di sekitar kawasan Kajang, Sela­ngor dan Cheras, Kuala Lumpur.

Katanya, seramai 17 individu termasuk tujuh warga asing ditahan selepas disyaki terbabit aktiviti memproses dan mengedar dadah.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan lelaki tempatan, enam lelaki warga Pakistan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warga Vietnam.

“Dalam serbuan itu, polis menyerbu unit pangsapuri dan sebuah rumah di kawasan perindustrian yang dijadikan makmal memproses dadah serta stor penyimpanan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Balai Polis Semenyih, di sini semalam.

Kok Chin berkata, pemeriksaan menemukan pelbagai dadah iaitu 526.75 kilogram (kg) meth oil, ketamin (409 gram), heroin (504 gram), pil erimin 5 (10,000 biji) dan serbuk mdma (1.11 kg) selain merampas pelbagai peralatan memproses dadah, cecair serta serbuk kimia.

Menurutnya, sindiket dikesan menyewa pangsapuri dan rumah untuk dijadikan tempat memproses serta menyimpan dadah.

“Semakan mendapati kediaman berkenaan baru di­sewa dalam tempoh seminggu sebelum serbuan dan disyaki menjalankan aktiviti secara berpindah-randah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Sindiket juga menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah bagi pasaran tempatan terutama sekitar Lembah Klang.

“Suspek berselindung di sebalik syarikat pengawal ke­selamatan sah yang mana empat ahli sindiket turut bekerja sebagai penyelaras dan penga­wal keselamatan di syarikat berkenaan,” katanya.

Katanya, semakan mendapati enam suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan empat suspek positif dadah.

“Lapan kenderaan iaitu BMW, Honda HRV, Honda CRV, Honda Civic, Honda City, Pe­rodua Myvi, Toyota Hilux dan motosikal Honda EX5, wang tunai pelbagai matawang serta barang kemas disita mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988.

Beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hari sehingga 12 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×