Hikmah bergelar isteri, Syasya tukar penampilan, sambung belajar - Utusan Malaysia

Hikmah bergelar isteri, Syasya tukar penampilan, sambung belajar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGUNDURAN Syasya selaku anggota kumpulan Dolla kerana mahu berumah tangga sememangnya mengejutkan peminat.

Syasya memilih berundur ketika berada di puncak kegemilangan bersama kumpulan itu demi mengejar kebahagiaan hakiki disamping suami, Nasrullah Mohd. Sapie.

Muncul peminat yang kecewa dengan keputusan Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal keluar Dolla.

Namun tuan punya badan melihat hikmah yang lebih besar disebalik keputusan itu apabila dia kini sudah mengenakan hijab, mengubah penampilan daripada cara pemakaian yang seksi kepada penampilan Muslimah sejati.

“Sebenarnya saya sudah lama menyimpan hasrat untuk memakai tudung. Tapi sebelum ini saya terpaksa tangguh kerana masih bersama Dolla.

“Jadi, selepas bergelar isteri sekarang adalah masa yang terbaik untuk saya istiqamah dan cari jalan untuk kebaikan diri sendiri.

“Saya masih belajar, masih tercari-cari gaya tudung yang sesuai dengan saya. Suami pun amat memahami dan ada hadiahkan tudung untuk saya.

“Alhamdulillah, hidup saya sekarang terasa lebih tenang dengan menukar gaya pemakaian,” katanya.

Syasya dan suaminya ditemui selepas majlis resepsi perkahwinan mereka yang diadakan di sebuah dewan dekat Shah Alam, baru-baru ini.

Pasangan tersebut sebelum ini dinikahkan pada 20 April 2024 dalam sebuah majlis yang dihadiri keluarga dan teman rapat.

Pernikahan tersebut menjawab semua persoalan mengenai pengunduran Syasya daripada kumpulan terkenal itu yang secara rasminya diumumkan pada 8 April yang lalu.

Keputusan mendirikan rumah tangga juga sebenarnya membolehkan Syasya untuk menyambung dan menamatkan pelajarannya yang sebelum ini tergendala disebabkan kesibukan dalam dunia seni.

“Sekarang saya berazam mahu tamatkan pengajian di salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta tempatan. Ketika bersama Dolla, pelajaran saya tergendala, sering bertukar bidang pengajian.

“Sekarang adalah masa untuk saya fokus kepada pelajaran, tamatkan dan kemudian sambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” kongsinya.

Kata Syasya lagi, pengunduran daripada Dolla bukan satu keputusan mudah dilakukan sementelah hubungan dengan ahli lain terlalu akrab ibarat adik beradik kandungnya sendiri.

“Memang berat untuk buat keputusan, kami terlalu rapat. Tapi sebelum buat keputusan saya sudah berbincang dengan mereka. Alhamdulillah anggota lain faham dan terima keputusan saya.

“Mereka beri sokongan dan hormat kehendak saya. Mereka pun dah lama tahu rancangan saya untuk berundur, dalam beberapa bulan sebelum pengumuman rasmi dibuat.

“Kami pula masih saling berkomunikasi. Saya faham kesibukan mereka sehingga tak dapat hadir ke majlis resepsi saya. Tugas mereka untuk membuat persembahan, jadi saya faham keadaan itu,” katanya.

TIDAK HALANG ISTERI BEKERJA

Tanggapan segelintir peminat yang menyangka pengunduran Syasya daripada Dolla adalah atas permintaan suaminya sama sekali meleset.

Keputusan itu dibuat bersama, bahkan Nasrullah tidak pernah menghalang penglibatan isterinya dalam dunia seni.

“Saya amat mengalu-alukan dia bekerja. Cuma buat masa ini, tiada perancangan ke arah itu.
Kita tengok macam mana rezeki dia dalam bidang seni di masa akan datang.

“Memanglah kalau boleh saya mahu melihat dia jadi suri rumah sepenuh masa. Tapi saya tidak akan halang dia bekerja,” katanya.

Dalam masa yang sama, Nasrullah juga memaklumkan mengubah perancangan untuk tidak melanjutkan pelajaran keluar negara demi membina keluarga di Malaysia.

“Sebenarnya memang awal lagi saya berhajat untuk sambung belajar ke luar negara.

“Tapi perancangan itu saya ubah sebab saya memilih berumah tangga dan bina keluarga,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×