JAKARTA: Kementerian Komunikasi dan Maklumat Indonesia (Kominfo) menggesa rakyat untuk tidak menyebarkan rakaman video mengenai kejadian serangan di perkarangan ibu pejabat polis kerana mengandungi unsur keganasan.
Lapor AntaraNews, jurucakap Kominfo, Dedy Permadi berkata, pihaknya meminta tidak berkongsi sebarang kandungan sama ada dalam bentuk video, gambar atau naratif yang mengandungi aktiviti keganasan, imej mangsa dan berita palsu.
“Pengganas berupaya mencetuskan ketakutan dalam kalangan masyarakat.
“Jadi, penyebaran kandungan seperti ini sebenarnya menyokong matlamat pengganas yang mahu menimbulkan rasa takut dan cemas dalam golongan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas Dedy, pihaknya ketika ini sedang memantau laman media sosial untuk menyekat akses kepada kandungan seperti berkenaan.
“Kominfo juga meminta orang ramai untuk segera melaporkan kepada aduankonten.id sekiranya menemui kandungan yang melanggar undang-undang termasuk hantaran atau status yang mengandungi keganasan,” katanya.
Terdahulu, polis Indonesia menembak mati seorang suspek pengganas yang cuba memasuki perkarangan ibu pejabat polis negara tersebut.
Dalam kejadian berlaku kira-kira pukul 4 petang (waktu tempatan), suspek mengeluarkan senjata api dan melepaskan beberapa das tembakan.
Suspek turut didakwa mengacukan senjata api ke arah anggota polis yang berkawal dan berlaku aksi berbalas tembakan.











