Pemandu lori ditahan seleweng diesel bersubsidi - Utusan Malaysia

Pemandu lori ditahan seleweng diesel bersubsidi

DUA anggota penguat kuasa KPDN memeriksa sebahagian diesel bersubsidi yang dirampas di Paka, Dungun, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang pemandu lori ditahan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi di sebuah stesen minyak di Paka, kira-kira pukul 9.40 malam tadi.

Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan ketika sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong plastik di bahagian belakang lori ketika serbuan Ops Tiris 3.0 di stesen minyak tersebut.

Pengarah KPDN Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, hasil serbuan yang dilakukan lima anggota penguat kuasa itu menemukan tujuh tong plastik berisi kira-kira 140 liter diesel.

“Kita turut merampas beberapa dokumen berkaitan, empat unit pam air dan sebuah lori untuk disita. Kesemua rampasan ini dianggarkan berjumlah RM98,371.00,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Saharuddin berkata, terdahulu pihaknya menerima maklumat mengenai pemandu lori itu yang sering membeli diesel bersubsidi di stesen-stesen minyak sekitar Kerteh dan Paka.

“Minyak diesel itu kemudiannya akan diisi di dalam tong-tong plastik berkapasiti 25 liter yang dipercayai digunakan untuk operasi jentera berat bagi kerja-kerja mengorek pasir,” katanya.

Menurutnya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan pihaknya akan turut mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran diesel tersebut.

Tegas Saharuddin, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×