KUANTAN: Seramai 12 mangsa yang terlibat kemalangan bas persiaran dan sebuah treler di Jalan Kuantan-Segamat, Rompin pada awal pagi Ahad masih menerima rawatan.
Ketua Polis Rompin, Deputi Superintenden Nor Azman Yusof berkata, lapan mangsa merupakan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah, Melaka, dua kerani, seorang suri rumah dan murid.
“Lima mangsa di rawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan, dua di Hospital Besar Melaka, tiga di hospital swasta dan seorang di Hospital Muadzam Shah,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, difahamkan seramai 23 mangsa daripada 39 orang terlibat nahas dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.
Terdahulu, empat disahkan meninggal dunia dalam kemalangan dianggarkan berlaku pukul 12.30 pagi Ahad lalu apabila bas persiaran terbabit terbalik di cerun jalan selepas hilang kawalan dan melanggar treler membawa muatan gelung besi.
Bas berkenaan membawa rombongan guru dan kakitangan SK Jeram bersama keluarga mereka ke Seberang Takir, Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.
Antara yang maut merupakan dua guru, seorang pembantu operasi sekolah dan seorang pemandu kedua bas.
Mangsa pertama, Guru Penolong Kanan 1 SK Jeram, Hasnatul Adilah Hassan, 48, yang meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa kedua merupakan pemandu kedua bas persiaran, Hadi Asyraf Mad Idris, 29 yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Muadzam Shah.
Mangsa ketiga, pembantu operasi SK Jeram, Hamzah Ahmad, 60, dan mangsa keempat seorang guru, Dahlia Ahmad, 52, keduanya meninggal dunia ketika menerima rawatan di HTAA pada hari yang sama. – UTUSAN










