Usir, musnah kampung Bajau Laut bertentangan nilai manusiawi

Usir, musnah kampung Bajau Laut bertentangan nilai manusiawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tindakan penguat kuasa mengusir dan memusnahkan kampung komuniti Bajau Laut di Sabah dilihat bertentangan dengan nilai manusiawi. 

Dalam satu kenyataan bersama, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) berkata, soal warga tanpa negara atau stateless Bajau Laut itu adalah isu yang kompleks dan tidak boleh diselesaikan secara mudah. 

“Namun, kami berdukacita dengan kes pengusiran dan pemusnahan beberapa kampung komuniti Bajau Laut yang melibatkan 273 rumah di tujuh pulau kawasan Taman Marin Tun Sakarin. 

“Hal ini melibatkan 1,500 penduduk Bajau Laut. Kami melihat tindakan ini bertentangan dengan nilai manusiawi serta secara tidak langsung mencemarkan imej negara,” katanya dalam kenyataan. 

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah dilapor menjelaskan, tindakan perobohan dan pengosongan rumah di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS) Semporna dilaksanakan atas faktor keselamatan berikutan kegiatan jenayah rentas negara di penempatan tanpa izin. 

Notis pengosongan diedarkan ke 273 rumah di kawasan berkenaan dalam tempoh 2 hingga 4 Mei lalu sebelum kerja perobohan dilaksanakan bermula 4 hingga 6 Jun lepas.

Mengulas lanjut, AMK dan MKM berpandangan, isu berkenaan memerlukan penyelesaian yang bersifat lebih konstruktif dengan mengambil kira kepentingan semua pihak dan mengutamakan pandangan masyarakat setempat khususnya rakyat Sabah. 

Oleh itu, kata mereka, perancangan secara tersusun haruslah dilakukan demi mencari titik penyelesaian bersama. 

“Rata-rata masyarakat Bajau Laut adalah warga tanpa negara dalam erti kata orang yang tiada kewarganegaraan di mana-mana negara. Menurut anggaran aktivis lapangan, satu per tiga populasi Sabah adalah warga tanpa negara, mereka dinafikan hak kepada pendidikan, perkhidmatan perubatan, peluang pekerjaan dan pemilikan harta benda. Faktor-faktor ini menyumbang kepada masalah sosial yang menjadi beban kepada pihak-pihak yang berkait. 

“Justeru, usaha dalam mendepani permasalahan ini, kami mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang melibatkan pihak berkuasa, ketua masyarakat setempat, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih komprehensif terutamanya dalam usaha merangka satu pelan jangka masa panjang bagi menoktahkan isu ini. 

“Jawatankuasa ini perlu berfungsi dalam menyediakan perancangan secara lebih tersusun serta menilai kembali perundangan, dasar dan prosedur yang sedia ada terutamanya dalam isu kewarganegaraan,” kata kenyataan itu. 

Tambah kenyataan itu, AMK dan MKM yakin penyelesaian isu kewarganegaraan adalah satu keutamaan buat kerajaan ini demi mengangkat rukun Ihsan dalam Malaysia Madani serta prinsip keadilan sosial yang dijulang PKR. 

“Kami percaya bahawa kerajaan sedia ada mampu membuktikan serta komited dalam mendepani cabaran ini selari dengan gagasan reformasi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×