NIBONG TEBAL : Seorang lelaki cuba mencetuskan provokasi ketika Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap di sini, malam tadi.
Dia yang berada di penjuru pentas ceramah ketika Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sedang berucap secara tiba-tiba bangun dan mempersoalkan mengapa harga minyak tidak turun.
Difahamkan, persoalan lelaki tersebut merujuk kepada pengumuman penetapan harga runcit bahan api diesel pada RM3.35 seliter bermula tengah malam tadi di stesen minyak seluruh Semenanjung Malaysia.
Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR bagaimanapun terus memanggil lelaki tersebut naik ke pentas bersamanya untuk menjawab persoalan berkenaan.
“Mari atas sini (pentas ceramah). Awak tanya (mengenai harga minyak), saya jawab. Saya nak tanya balik, mari,” panggil beliau.
Lelaki itu yang pada mulanya kelihatan seperti lantang bersuara itu bagaimanapun enggan memenuhi permintaan Rafizi sebelum beredar dari kawasan terbabit bersama beberapa orang rakannya.
Mengulas lanjut, Rafizi memberitahu, masih ramai sebenarnya yang tidak memahami mengapa harga minyak tidak turun.
“Zaman minyak (petrol) dulu harga RM1.90 (seliter), tahu tak harga minyak mentah berapa masa itu? Tahu tak masa itu berapa subsidi yang kerajaan kena belanjakan? Sikit ke?
“Masa itu subsidi kena belanja RM3 bilion daripada bajet RM200 bilion lebih. Sekarang subsidi RM60 bilion, harga minyak mentah 80 dolar (Amerika).
“Saya sebut dulu, kalau harga minyak mentah rendah dan subsidi itu masih lagi boleh ditanggung, kenapa nak hapuskan subsidi? Sekarang apabila subsidi dah jadi RM80 bilion, nak buat sekolah tak boleh, nak naik gaji tak boleh dan sebagainya,” soal beliau.
Justeru, kata Rafizi, adalah lebih baik subsidi itu dialihkan kepada yang benar-benar berhak menerimanya.
“Bukan batal. Kita alih (subsidi). Maksudnya, subsidi itu terus diberi. Semua kenderaan awam dapat, lori kecil semua dapat, ‘pick-up’ semua dapat, yang berniaga pun semua dapat,” ujar Rafizi.-UTUSAN











