MELAKA: Melaka dipilih sebagai tuan rumah Kejohanan Piala Emas Raja-Raja Edisi Ke-102 yang akan diadakan secara karnival dari 17 hingga 26 Oktober ini.
Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM), Mohd. Firdaus Mohamed berkata, buat pertama kali kejohanan itu diadakan secara karnival berbanding sebelum ini mengikut zon.
Menurutnya, sebanyak 16 pasukan bakal bertanding membabitkan tiga pasukan jemputan iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang beraksi buat musim kedua manakala Akademi Mokhtar Dahari bermain buat kali pertama.
Beliau berkata, tirai kejohanan bermula dengan Kejohanan Piala Agong menemukan juara Piala Emas Raja-Raja musim lalu iaitu Pahang dan Selangor akan berlangsung di Stadium Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) pada 17 Oktober ini.
“Melaka dipilih sebagai tuan rumah secara karnival sebagai penghormatan sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 dan pengiktirafan kepada Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali dipilih sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Melayu Melaka Baru.
“Dua pasukan jemputan kita kekalkan iaitu SPRM dan JBPM sebagai pasukan jemputan buat musim kedua berturut-turut dan kita jemput Akademi Mokhtar Dahari,” katanya dalam sidang akhbar di sebuah hotel di Ayer Keroh di sini.
Tambah Mohd. Firdaus, kejohanan selama 10 hari itu berlangsung di empat gelanggang selain Stadium UTeM iaitu Stadium Hang Tuah, Stadium Tun Fatimah dan Stadium Mini Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sekolah, Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Kota.
Ujarnya, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 manakala naib juara pula bakal memperoleh RM30,000. – UTUSAN











