PERNAHKAH anda berdepan situasi kurang selesa termasuklah insiden ‘terkucil’ sebaik sahaja terbatuk atau terbersin?
Terkucil atau inkontinen biasanya membuatkan individu berasa malu dan kurang selesa berada di khalayak, kerana ia mencetuskan kegelisahan.
Mana tidaknya, hanya didorong batuk, bersin atau menerusi aktiviti senaman termasuk melompat, mereka yang mengalami masalah ini akan terkencing tanpa boleh dikawal.
Ia sebetulnya boleh mengganggu aktiviti harian. Perbuatan biasa seperti ketawa dan batuk, boleh menyebabkan kebocoran air kencing.
Inkontinen terbahagi kepada dua iaitu inkontinen tekanan dan inkontinen desakan.
Inkontinen tekanan berpunca daripada batuk, ketawa, bersin, bersenam atau pergerakan lain yang meningkatkan tekanan dalam abdomen, manakala inkontinen desakan berlaku secara luar kawalan yang dicetuskan oleh bunyi seperti air mengalir atau meminum sedikit air.
Sekitar 30 peratus wanita Malaysia mengalami jenis ini.

Dalam menangani terkucil, ada kecenderungan pesakit mengurangkan minuman air untuk mengelakkan pembuangan air kecil atau mengelakkan keluar dari rumah kerana bimbang keadaannya diketahui oleh orang lain sedangkan ia sebaliknya.
MASALAH OTOT
Di mana masalah kencing tak lawas berlaku apabila otot dan saraf yang membantu pundi kencing mengalami masalah.
Umumnya ia boleh berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya pundi kencing hipotenik, pundi kencing prolaps (bagi wanita), masalah prostat (bagi lelaki), jangkitan salur kencing, sembelit yang menyebabkan tekanan berlebihan ketika membuang air, berat badan berlebihan atau obesiti, kecederaan sistem saraf akibat kondisi seperti kencing manis dan sklerosis berbilang dan kesan pembedahan seperti histerektomi.
Gejala penyakit berkait lain seperti komplikasi saraf dialami penghidap diabetes kronik, Parkinson, sklerosis berbilang, strok, selain kecederaan saraf tunjang biasanya akibat kemalangan turut mendorong ia berlaku.
Dalam kalangan wanita, komplikasi selepas bersalin turut mendorong berlaku masalah ini. Tabiat menahan kencing sedangkan pundi kencing sudah tidak dapat menampung kandungannya turut mendorong masalah ini berlaku.
Justeru, individu mengalami masalah ini perlu mendapat rawatan daripada pakar untuk melakukan pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Ini termasuk rawatan mendapatkan ubat-ubatan khusus digunakan untuk merawat inkontinen disebabkan oleh otot-otot pundi kencing tidak stabil.
Selain itu, wanita yang mengalami masalah ini disarankan bersenam untuk menegangkan dan menguatkan otot lantai pelvis (pinggul).

LELAKI TIDAK TERKECUALI
Masalah lemah kawalan kencing dalam kalangan lelaki biasanya berkait rapat dengan masalah kelenjar prostat selain kesan rawatan penyakit berkaitan prostat seperti pembesaran kelenjar prostat (BPH) yang berlaku seiring dengan peningkatan usia.
Apabila kelenjar prostat membesar, ia akan menghimpit saluran kencing uretra dan menyebabkan saluran uretra menjadi kecil.
Lebih 50 peratus lelaki berumur 60 tahun dan 90 peratus lelaki berumur 70 hingga 80 tahun mengalami masalah kencing.









