PETALING JAYA: Malaysia terus kempunan untuk merangkul gelaran beregu lelaki selepas wakil negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun tumpas pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia, sebentar tadi.
Pasangan No. 20 dunia itu tunduk kepada pilihan kedua, Liang Wei Keng-Wang Chang dari China 21-19, 16-21, 12-21 dalam masa 54 minit.
Kali terakhir Malaysia merangkul gelaran pada Terbuka Indonesia ialah menerusi Mohd Zakry Abdul Latif-Mohd Fairuzizuan Mohd Tazari pada 2008 iaitu kira-kira 16 tahun lalu.
Selaku naib juara, Wei Chong-Kai Wun membawa pulang pingat dan hadiah wang tunai sebanyak AS$45,500 (RM213,400).
Kejayaan tersebut juga merupakan pencapaian terbesar beregu Malaysia itu pada kejohanan berstatus Super 1,000. – UTUSAN











