PETALING JAYA: Kerajaan Perpaduan dituntut melaksanakan reformasi gaji secara menyeluruh bagi menjaga kebajikan 16.51 juta pekerja sekali gus mengelakkan mereka terpaksa bekerja ‘sampai sakit’ kerana simpanan hari tua tidak mencukupi.
Antara reformasi tersebut meningkatkan kadar gaji minimum pekerja yang ketika ini RM1,500, wajibkan kenaikan gaji tahunan dan menambah kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, reformasi gaji menyeluruh itu akan dapat membantu pekerja meningkatkan kadar caruman KWSP dan menjamin mereka mempunyai simpanan hari tua mencukupi.
Menurut beliau, dengan reformasi menyeluruh itu sekali gus, sebahagian besar pekerja di negara ini tidak perlu bekerja sehingga sakit mahupun meninggal dunia untuk menampung keperluan harian seperti yang didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.
“Simpanan rendah kerana gaji mereka rendah. Kalau simpanan KWSP berkurang, apatah lagi simpanan tabungan sendiri. Sebab itu mereka perlu bekerja selagi mana hayat ada untuk menampung keperluan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Perdana Menteri sebelum ini mendedahkan, sebanyak 26.1 peratus rakyat Malaysia berumur 60 tahun ke atas dijangka terus bekerja sehingga menghadapi masalah kesihatan ekoran terpaksa mencari wang untuk memenuhi keperluan di hari tua.
Dapatan itu hasil tinjauan terbaharu oleh KWSP ke atas para pencarum.
Anwar dilaporkan berkata, hanya 29 peratus rakyat mempunyai pencen atau kewangan yang cukup semasa bersara dan ia menjadikan kumpulan warga emas lebih terdedah kepada kemiskinan berbanding purata rakyat Malaysia.
Pada masa sama, Kamarul Baharin berkata, MTUC meminta kerajaan menjelaskan perkembangan berhubung cadangan menaikkan caruman KWSP majikan kepada 20 peratus berbanding 13 peratus ketika ini.
Katanya, ini kerana Perdana Menteri tahun lepas pernah memaklumkan perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri namun sehingga kini tiada sebarang perkembangan.
Kata beliau, kenaikan gaji tahunan pula perlu diwajibkan kerana usaha itu tidak tertakluk di dalam Akta Kerja 1955 sekali gus menyebabkan majikan mengambil jalan mudah dengan tidak menaikkan pendapatan mereka.
Sedangkan, katanya, langkah itu bukan hanya dapat meningkatkan simpanan persaraan, namun pendapatan mereka juga dapat seiring perubahan semasa.
“Orang bekerja adalah untuk menyediakan makanan di atas meja dan dengan anak semakin membesar, jika tiada perubahan tangga gaji, maknanya tidak berlaku apa-apa perubahan pada (pendapatan) diri sendiri dan keluarga,” katanya.
Beliau turut berkongsi gaji terkini seorang pekerja kilang yang sudah bekerja 25 tahun, tetapi cuma mendapat RM1,600 sebulan gara-gara tiada kenaikan tahunan dan ketiadaan gaji minimum. – UTUSAN










