PETALING JAYA: Penderitaan dihadapi penduduk Palestin di Gaza sangat memilukan apabila mereka kini terpaksa meminum air kotor bagi menghilangkan haus ekoran trak bantuan yang tidak dapat masuk sejak pertengahan Mei lalu.
Rakyat Malaysia yang sebelum ini terkandas di Gaza, Nurul Ain Haron, 38, berkata, keadaan menyayat hati itu dimaklumkan oleh bapa mentuanya baru-baru ini selepas terputus hubungan selama sebulan.
Kata beliau, usaha untuk menyalurkan bantuan kepada keluarga mentua gagal disebabkan pelbagai halangan.
“Perkara yang amat membuat saya rasa pilu apabila ayah mentua saya meminta air minuman. Dikhabarkan mereka sangat dahaga dan terpaksa minum air tidak bersih. Bukan sahaja ayah mentua saya tetapi ramai lagi orang di kawasan khemah itu sangat-sangat susah untuk mendapatkan air bersih.
“Ayah mentua tahu saya ada salurkan bantuan air bersih untuk diminum ke tempat lain daripada duit bantuan dari Malaysia. Beliau juga tahu saya berusaha untuk hantar bantuan ke tempat beliau iaitu Khan Younis tetapi gagal kerana kebanyakan pemandu trak menolak kerana keadaan jalan yang rosak hingga boleh membuatkan tayar pecah dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin di Gaza, Omar Seyam berkata, situasi di Gaza kini sangat tragis dari seluruh aspek kehidupan.
Jelasnya, laluan untuk menghantar bantuan kemanusiaan dari segi barangan keperluan, makanan dan ubat-ubatan ditutup sepenuhnya menyebabkan tiada bantuan boleh masuk ke Gaza sejak pertengahan Mei lalu.
“Bilangan orang sakit dan cedera yang memerlukan rawatan di luar Semenanjung Gaza kini sudah mencecah 25,000 orang dan hanya sekitar 6,000 dapat melakukan perjalanan apabila lintasan Rafah dibuka.
“Sejak 7 Mei, tiada orang sakit atau cedera dapat meninggalkan Semenanjung Gaza. Ini menyebabkan risiko terdedah kepada risiko komplikasi dan kematian yang sepatutnya boleh dielakkan memandangkan mereka masih boleh dirawat serta diselamatkan,” katanya. – UTUSAN










