PUTRAJAYA: Keputusan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel bermula esok membolehkan aktiviti penyeludupan dan penyelewengan tidak lagi menjadi suatu kegiatan lumayan selepas ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, secara logiknya aktiviti penyeludupan dan penyelewangan itu dapat dikurangkan secara drastik.
“Saya ingin tegaskan bahawa apa yang dilakukan kerajaan hari ini adalah menyasarkan semula subsidi untuk golongan yang benar-benar layak sahaja.
“Kita mahu menghentikan ketirisan yang amat merugikan rakyat dan negara,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan selama ini menampung kerugian besar dan ini boleh merencat kemakmuran yang sepatutnya menjadi milik kita.
Amir Hamzah berkata, penyasaran subsidi ini sekali gus mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.
Menurutnya, keputusan mengenai penyasaran subsidi diesel bukanlah satu langkah mudah untuk diambil dan ia dibuat secara tidak terburu-buru.
“Kerajaan memberi perhatian khusus untuk mengkaji dan memastikan mekanisme terbaik bagi melindungi sektor dan individu yang layak dibantu supaya kegiatan ekonomi tidak terganggu,” katanya.
Katanya, kerajaan berdepan kerugian berbilion ringgit hasil daripada aktiviti penyeludupan dan penyelewengan diesel setiap tahun dan sehingga mengecilkan keupayaan untuk membela kepentingan rakyat.
Jelasnya lagi, subsidi diesel juga meningkat 10 kali ganda dari RM1.4 bilion tahun 2019 kepada lebih RM14.3 bilion tahun 2023.
“Bukan sahaja negara dan kerajaan, malah rakyat juga menanggung kesan daripada aktiviti-aktiviti ‘mengkhianat’ hasil negara ini,” katanya.
Katanya, pada masa ini, harga diesel di negara jiran lebih tinggi iaitu lebih kurang RM4 seliter di Thailand; RM4.50 di Indonesia dan hampir mencecah RM9 di Singapura.
Tanbahnya lagi, keadaan itu mengundang penyeludupan ke negara jiran dan penyelewengan ke sektor komersil yang tidak layak menggunakan diesel bersubsidi selama ini. – UTUSAN











