ISKANDAR PUTERI: Johor disarankan mewujudkan Gabungan Bangsa Johor yang menjaga kepentingan negeri ini tanpa perlu ‘mengemis’ peruntukan daripada kerajaan Pusat.
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah, gabungan itu penting bagi kerajaan negeri memperbaiki sistem dalam negeri ini demi kepentingan kehidupan generasi akan datang supaya lebih terpelihara.
“Kalau kita ade Gabungan Bangsa Johor macam parti politik di Sarawak, jika Sarawak boleh buat, kita pun boleh buat. Itu saya harap akan berubah dari segi cara pemikiran dan ada gabungan ini.
“Apa-apa hasil pendapatan, kemajuan dalam negeri, sekurang-kurangnya kita ada suara untuk memperjuangkan hak kita. (Gabungan Bangsa Johor) Perlu dilaksanakan, kita kena jaga diri kita sendiri.
“Jika tidak ubah cara pemikiran kita, saya fikir sampai bila-bila Johor akan jadi pengemis je, sampai bila-bila Johor kena minta permohonan, itu pun tengok juga kalau kita ini jadi keutamaan atau tidak,” titah baginda pada sesi podcast secara langsung sempena Program Johor Youth Meet-up di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan barisan Exco kerajaan negeri.
Tunku Mahkota Ismail mengakui Johor telah melalui fasa itu apabila menjadi pengemis menunggu peruntukan daripada kerajaan Pusat dan terpaksa membuat bermacam-macam permohonan.
Malah titah baginda, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang kini Yang di-Pertuan Agong mengeluarkan duit sendiri untuk membetulkan Wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) beberapa tahun yang lalu.
“Esok kalau ada Perdana Menteri yang tak berapa suka dengan Johor macam tahun 2018, masa Tun Dr. Mahathir Mohamad sekat semua duit ke negeri Johor, projek yang sudah diluluskan seperti Hospital Pasir Gudang dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dihentikan kerana kurang senang dengan Johor.
“Sekarang ini Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun terpaksa melayan kita kerana Sultan Johor kita adalah Yang di-Pertuan Agong, kalau besok Sultan bukan lagi Yang di-Pertuan Agong, rasanya masih dengar cakap kita dan fikirkan kita ke tidak?
“Sebab itu, rakyat Johor saya beri pandangan perlu ada Gabungan Bangsa Johor untuk kita jaga kepentingan kita. Jika tidak ada inisiatif ini, dalam 10 tahun akan datang, kita akan lalui masalah sama, itu realitinya,” titah baginda. – UTUSAN










