MELAKA: Kerusi Pengerusi DAP Melaka berubah tangan daripada penyandang, Datuk Tey Kok Kiew kepada Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong selepas Kok Kiew melepaskan jawatan itu secara sukarela, Khamis lalu.
Timbalan Pengerusi DAP negeri, G. Saminathan berkata, Kok Kiew berbuat demikian kerana berhasrat memberi laluan kepada muka baharu memimpin parti, memandangkan beliau sudah berada di posisi itu dalam tempoh agak lama.
Katanya, mesyuarat berlangsung kelmarin sebulat suara memilih Poay Tiong yang sebelum ini Naib Pengerusi DAP Melaka sebagai pengganti, berdasarkan pengalaman luasnya dalam politik dan sebagai wakil rakyat.
“Kok Kiew dari awal sudah maklumkan dia mahu bagi laluan kepada kepemimpinan baharu untuk memimpin DAP Melaka, kerana beliau sudah lama menjadi pengerusi.
“Notis diberikan pada 6 Jun kepada DAP pusat. Kebetulan semalam kita ada mesyuarat.
“Ahli Jawatankuasa (AJK) negeri semalam kita buat mesyuarat, sebulat suara kita semua menyokong Poay Tiong dilantik sebagai pengerusi baharu. Ini yang kita putuskan semalam,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat DAP Melaka, Lorong Pandan di sini, semalam.
Dalam pada itu, Poay Tiong berkata, beliau menganggap pelantikan itu sebagai interim demi kestabilan parti, memandangkan DAP negeri akan mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pada November ini.
“Pada waktu tersebut kita akan adakan pemilihan parti yang baharu untuk kita memilih jawatankuasa DAP Melaka yang baharu. Kita akan memulangkan mandat kepada ahli untuk mereka memilih,” katanya. – UTUSAN











