MELAKA: Kerajaan negeri tidak berbelanja besar untuk membawa pelakon dari China, Fan Bingbing datang ke Melaka kerana tiket penerbangan dan sebagainya ditaja sebuah syarikat tempatan.
Fan Bingbing yang akan dilantik sebagai Duta Pelancongan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024 juga dikatakan bakal melonjakkan sektor pelancongan negeri di peringkat antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri hanya menyediakan beberapa keperluan logistik sepanjang kehadirannya dari 14 hingga 16 Jun ini.
Ujarnya, individu itu juga mempunyai pengaruh sangat besar dalam media sosial seterusnya mampu menarik ramai peminatnya apabila berkunjung ke Melaka.
“Saya mendengar, meneliti cadangan dan komen daripada masyarakat, netizen. Tetapi hari ini saya bagi tahu kehadiran Fan Bingbing sebenarnya memberi impak yang lebih besar kepada pelancongan bertaraf dunia kepada Melaka.
“Pada asalnya Fan Bingbing sekadar ingin melancong ke Melaka tetapi seorang pengurus di peringkat Asia yang juga rakyat Malaysia telah mencadangkan nama beliau dilantik sebagai duta untuk mempromosikan TMM 2024 tanpa sebarang bayaran.
“Jadi kerajaan negeri amat berbesar hati menerima tawaran tersebut tanpa sebarang bayaran, melainkan kita hanya menyediakan beberapa logistik untuk membantu kehadiran beliau,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perarakan Perahu Naga Melaka di Dataran Persahabatan Malaysia-China, Banda Hilir di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, keputusan untuk melantik Fan Bingbing sebagai Duta Pelancongan TMM 2024 langsung tidak bertepatan dengan matlamat pelaksanaan program itu sendiri.
Timbalan Pesuruhjaya Pas Melaka, Bakri Jamaluddin berkata, ini kerana tujuan pelancong melawat sesebuah lokasi adalah kerana nilai budaya dan sejarah ketamadunan tempatan, bukannya untuk melihat budaya mereka diangkat di situ.
Tambah Ab. Rauf, pelakon itu akan dilantik secara rasmi sebagai duta pelancongan ketika kunjungannya minggu depan.
“Kerajaan negeri akan mengeluarkan jadual khusus kepada peminat pelakon China itu sepanjang tiga hari beliau berada di negeri ini.
“Saya harap keadaan itu boleh diterjemahkan di Melaka dengan kehadirannya mampu menarik peminatnya untuk berkunjung ke sini minggu depan,” ujarnya. – UTUSAN











