KOTA BHARU: UMNO akan menggerakan seluruh jentera parti itu bagi membantu kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) sekali gus merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Pulau Pinang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 6 Julai ini.
Naib Presidennya Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan yang sedang memimpin teraju negara pada hari ini.
“Bila berkawan, kita akan bantu. Perkara itu dapat dilihat dalam beberapa siri PRK sebelum ini termasuklah terbaharu di DUN Kuala Kubu Baharu.
“UMNO pentingkan negara. Walaupun bukan majoriti dalam Kerajaan Perpaduan, namun akan pastikan pembangunan negara berjalan dengan baik.
“Bila duduk dalam kerajaan dan tengok orang lain bertanding kita nak sabotaj. Itu konsep tidak betul,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Barisan Nasional (BN) Kelantan di sini hari ini
Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lalu.
Dalam Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang Ogos tahun lalu, Nor Zamri yang juga Yang Dipertua Pas Nibong Tebal menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai depan sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Sungai Bakap manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Jun ini manakala undi awal pada 2 Julai.
Sejumlah 39,279 pemilih terlibat dalam pilihan raya kecil tersebut dengan peruntukan kos kira-kira RM2.1 juta.-UTUSAN











