KAJANG: Polis mempunyai budi bicara dalam menentukan bilakah masa peguam kepada ibu bapa Zayn Rayyan boleh berjumpa anak guamnya dalam tempoh kedua-duanya masih direman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, peguam mempunyai ruang untuk berjumpa pasangan berkenaan.
“Polis juga ada ruang untuk tentukan mereka (peguam) boleh jumpa ibu bapa Zayn Rayyan dalam tempoh atau selepas reman,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pelancaran Taman Angkat Amanita Kontinjen Selangor di Sekolah Kebangsaan Taman Rakan di sini hari ini.
Berita berkaitan:
Kelmarin, peguam mewakili ibu bapa kepada Zayn Rayyan iaitu Fahmi Abd Moin mendedahkan beliau belum dapat bertemu pasangan itu yang kini dalam tahanan reman polis.
Semalam, ibu bapa kepada Zayn Rayyan disambung reman enam hari lagi selepas reman pertama mereka berakhir semalam
Pada 6 Disember tahun lalu, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai berhampiran kawasan Apartemen Idaman Damansara Damai pada pukul 10 malam.
Mayat mangsa ditemui oleh kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencarinya.
Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang di kawasan kediamannya sebelum ditemui terbaring di sungai yang jaraknya kira-kira 200 meter dari blok kediamannya.
Polis mengesahkan mangsa dipercayai dibunuh susulan hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan tubuh kanak-kanak itu yang mempunyai kaitan akibat perbuatan jenayah.- UTUSAN











