PETALING JAYA: Beregu wanita No. 1 negara, Pearly Tan-M Thinaah terkandas di suku akhir selepas terpaksa akur kepada juara dunia, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia di Istora Senayan, Jakarta, Indonesia, sebentar tadi.
Walaupun tewas, pasangan No. 14 dunia itu mempamerkan persembahan menghiburkan apabila tidak memberi kemenangan mudah kepada beregu No. 1 dunia dari China itu sebelum tumpas 20-22, 18-21.
Peningkatan prestasi yang dipamerkan pada Terbuka Indonesia, sekurang-kurangnya meletakkan Pearly-Thinaah kembali berada di landasan tepat dalam persediaan mereka untuk melakukan penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis, Julai ini.
Sementara itu, dalam aksi perseorangan lelaki, seorang lagi wakil Malaysia tersingkir pada suku akhir selepas pemain No. 7 dunia, Lee Zii Jia tunduk kepada pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn 16-21, 17-21.
Seperti mana Pearly-Thinaah, Terbuka Indonesia merupakan kejohanan terakhir buat Zii Jia sebelum meneruskan latihan di tanah air untuk persiapan terakhir ke temasya terbesar di dunia itu. – UTUSAN







