Arwah memang suka tolong orang - Abang

Arwah memang suka tolong orang – Abang

Allahyarham Mohd. Rafie Sofian Bordie bersama isteri dan tiga orang anaknya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sifatnya memang suka menolong orang, luah abang kepada pemuda yang maut akibat dilanggar ketika cuba menolong mangsa kemalangan di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi petang semalam.

Mohd Rais Sofian Bordie, 37 berkata Allahyarham adiknya Mohd  Rafie, 35 yang bekerja dengan syarikat penapis air ketika kejadian dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Sungai Rengit.

Katanya pemandu Perodua Axia yang dibantu adiknya memberitahu, arwah orang yang pertama menolongnya sejurus kemalangan itu berlaku.

“Saksi di tempat kejadian memberitahu arwah orang pertama yang membantu pemandu Perodua Axia itu sempat mengeluarkan mangsa ekoran keadaan kereta yang sudah terbalik sebelum mereka pergi ke kawasan selamat.

“Namun adik kembali ke kereta tersebut kerana pemandu Perodua Axia tertinggal telefon bimbitnya di dalam kereta. Ketika pemandu masuk ke dalam kereta mencari telefon adik di luar ketika itulah sebuah kendaraan lain melanggar adik dalam sekelip mata.

“Sebelum itu adik sempat nasihat pada pemandu Perodua Axia agar tidak berlama-lama di kawasan itu kerana ia kawasan bahaya” katanya di sini hari ini.

Katanya Allahyarham merupakan anak keempat dari lima beradik sudah mendirikan rumah dan mempunyai tiga cahaya mata berusia enam tahun, tiga tahun serta setahun lebih.

Menurutnya isteri Allahyarham adalah seorang surirumah dan bergantung hidup sepenuhnya dengan Mohd Rafie untuk menyara keluarga. 

“Dia orangnya memang suka tolong orang tidak kira orang yang tidak kenal pun dia suka tolong. 

“Arwah memang seorang yang tidak banyak cakap namun akhir-akhir dia dilihat jadi lebih pendiam,” katanya lagi. 

Katanya jenazah adiknya itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Raja, Pengerang kira-kira 10 pagi tadi.

Terdahulu media melaporkan niat baik seorang lelaki yang mahu menolong sebuah kereta terbabas di Kilometer 18.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini bertukar tragedi apabila maut dilanggar kenderaan lain ketika sedang memberikan bantuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×