SERI kali ini berkongsi menu tradisional berasal dari Sumatera Barat, Dendeng batokok.
Menu ini amat popular dalam kalangan masyarakat Minangkabau.
Batokok atau dendeng ketuk, diperbuat daripada hirisan daging lembu rebus yang kemudian diketuk bagi menjadikannya empuk ketika dimakan.
Dendeng batokok lazimnya dimakan bersama nasi dan lauk-pauk nasi padang yang lain.
Resipi ini juga sesuai untuk disediakan bagi sajian diet buat ibu yang berpantang selepas melahirkan anak. Selamat mencuba.
(hidangan untuk 2 hingga 3 orang makan)
BAHAN-BAHAN
-800 gram daging lembu
-1,500 milimeter air kepala
-Air masak
-Minyak kelapa
-Garam
Bahan A (bahan untuk dikisar)
-1 sudu kecil biji ketumbar
-4 ulas bawang putih
-Halia sebesar 2 ibu jari
Bahan B (bahan untuk ditumis)
-800 milimeter air kelapa
-Garam
-1 biji bawang merah besar
-7 ke 8 tangkai cili hijau
-Limau nipis
CARA PENYEDIAAN
-Kisarkan bahan-bahan A dengan sedikit air dan tuang pada daging lembu. Perap selama 15 ke 20 minit.
-Didihkan air kelapa dan masukan daging yang telah diperap tadi untuk direbus selama 45 minit atau sehingga daging sudah empuk.
-Masukkan sedikit garam.
-Toskan daging yang telah direbus. Hiriskan daging tadi nipis-nipis.
-Selepas itu, ketuk daging yang telah dihiris dengan lesung batu.
-Kemudian hiris bawang besar, manakala tumbuk cili hijau sehingga lumat.
-Taburkan sedikit garam dan perahan limau dalam campuran cili hijau dan bawang besar tadi.
-Sediakan sedikit minyak kelapa ke dalam kuali dengan api yang sederhana.
-Tumis sekejap bahan-bahan B dan tambahkan sedikit air rebusan daging tadi.
-Gaulkan bersama hirisan daging yang telah diketuk bersama dengan bahan yang ditumis.
-Siap untuk dihidangkan.










