Elisya Sandha, Azrel Ismail kembali disatukan dalam Mihrab Cinta Zulaikha - Utusan Malaysia

Elisya Sandha, Azrel Ismail kembali disatukan dalam Mihrab Cinta Zulaikha

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat peminat untuk menyaksikan pelakon Elisya Sandha dan Azrel Ismail kembali disatukan terlaksana apabila keduanya digandingkan semula menerusi drama Mihrab Cinta Zulaikha.

Pengurus Besar platform penstriman iQIYI Malaysia dan Singapura, Jony Deng dalam kenyataan memaklumkan pemilihan dua pelakon itu bertepatan dengan kesesuaian mereka membawakan watak Zulaikha dan Yusof Hakimi dalam drama berkenaan.

“Pemilihan pelakon adalah berdasarkan kesesuaian karakter yang dibawakan dalam drama serta kemampuan mereka untuk menarik perhatian penonton, selain memiliki bakat lakonan yang hebat dalam menghidupkan sesebuah karakter, setiap pelakon mempunyai daya tarikan tersendiri yang membuatkan mereka unik,” katanya.

Drama ini mengisahkan tentang Zulaikha, seorang wanita yang tabah, berdikari serta berpegang teguh pada ajaran agama dan bertanggungjawab menguruskan rumah anak yatim namun diuji masalah kewangan.

Kemunculan Yusof Hakimi sebagai penyelamat dalam membantu menyelesaikan segala permasalahan di rumah anak yatim membawa kepada lamarannya terhadap Zulaikha.

Menurut Jony, drama tersebut diinspirasikan dari kejadian sebenar, menonjolkan kisah percintaan dan moral masyarakat. 

“Selain itu, idea di sebalik penghasilan drama ini datangnya daripada keinginan untuk meneroka tema-tema yang melibatkan keimanan, percintaan dan pengorbanan yang sering terjadi dalam masyarakat Malaysia,” katanya lagi.

Mihrab Cinta Zulaikha yang ditayangkan bermula 17 Mei lepas boleh ditonton menerusi aplikasi iQIYI bermula pukul 9:00 malam. 

Drama berkenaan turut menampilkan Arash Mohd., Johan As’ Ari, Maria Farida, Ieda Moin, Marisa Yasmin dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×