PUTRAJAYA: Seorang bekas presiden merangkap pengarah urusan sebuah bank bergelar Datuk antara empat ditahan bagi membantu siasatan menerima rasuah bagi meluluskan pinjaman RM400 juta kepada sebuah syarikat bagi melaksanakan projek tidak wujud.
Mereka yang berusia 49 hingga 53 tahun itu ditangkap di sekitar Kuala Lumpur lewat petang kelmarin.
Menurut sumber, keempat-empat individu berkenaan disyaki menerima rasuah dianggarkan berjumlah kira-kira RM8 juta (SGD3,168,366) sebagai komisen meluluskan permohonan pinjaman RM400 juta.
Katanya, perbuatan empat lelaki itu licik denan kerjasama ‘orang dalam’ iaitu dengan sengaja mewujudkan projek tidak sah dengan tujuan memohon pinjaman kewangan.
“Setelah pinjaman diluluskan dan wang diperoleh, syarikat yang memohon telah ditutup dan projek tidak dilaksanakan.
“Bekas presiden merangkap pengarah urusan bank tersebut dikatakan telah memberikan keistimewaan meluluskan pinjaman tersebut tanpa mengikut prosedur dan kajian kebolehlaksanaan (due dilligent) disebabkan rasuah diterima,” kata sumber itu semalam.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan empat individu tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Keempat-empat individu itu dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya dan direman tiga hari bermula semalam hingga 2 April ini mengit Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah. – UTUSAN










