PETALING JAYA: Kurang dari 50 hari sahaja atlet negara akan berjuang hingga ke titisan peluh terakhir bagi merebut pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris pada 26 Julai ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Team MAS dilancarkan bagi menyuntik semangat juang kepada 33 atlet yang telah melayakkan diri ke temasya tersebut.
Menurut Hannah, pelancaran tema tersebut dapat mewujudkan semangat kebersamaan di antara atlet dan rakyat bagi sama-sama memburu pingat emas pertama pada temasya terbesar di dunia itu.
“Sehingga kini, jumlah kontinjen negara adalah 33 orang. 18 atlet ke Sukan Olimpik dan 15 lagi ke Sukan Paralimpik.
“Sebab itu, ini adalah seruan untuk bertindak kita untuk rakyat Malaysia untuk tampil demi Team MAS.
“Kita semua Team MAS bukan hanya untuk Sukan Olimpik atau Sukan Asia tetapi setiap kali atlet ke luar negara mewakili Malaysia mereka membawa Team MAS,” katanya.
Hannah ditemui pemberita selepas majlis pelancaran Team MAS di Majlis Sukan Negara (MSN) dekat Bukit Jalil. Turut hadir Timbalannya, Adam Adli Abd. Halim.
Dalam pada itu, Hannah memberitahu kementeriannya akan mengadakan perjumpaan bersama syarikat korporat untuk turut sama mengambil bahagian dalam pembangunan sukan negara.
“Saya percaya pelaburan korporat untuk sukan negara akan mendatangkan banyak nilai bukan sahaja duit tetapi untuk membangunkan generasi masa depan.
“Sebelum ini kami telah mengadakan sidang media untuk memanggil syarikat korporat jika mereka berhasrat untuk bekerjasama dengan MSN.
“Atau menambah insentif kerajaan kepada atlet yang berjaya membawa pulang emas pertama Sukan Olimpik,” katanya. – UTUSAN










