Pemilik kebun getah sukar dapat penoreh

Pemilik kebun getah sukar dapat penoreh

MEGAT Rosli Megat Yaakob melihat pekerjanya menoreh getah di kebunnya di Tanjung Tualang, Kampar, semalam. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAMPAR: Selain harga rendah, pemilik kebun getah berdepan kesukaran untuk mencari pe­kerja kerana pekerjaan ladang itu semakin tidak diminati.

Pemilik kebun getah di Kampung Air Papan, Tanjung Tualang di sini, Megat Rosli Megat Yaakob, 71, yang mengusahakan enam ekar kebun getah berkata, dia mengalami kesukaran untuk mencari penoreh.

Katanya, ini kerana pekerjaan itu tidak diminati terutama golongan muda selain banyak yang beralih kepada pekerjaan di ladang kelapa sawit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Buat masa ini dua daripada enam ekar kebun getah ini ditoreh, baki empat ekar lagi sedang ditanam semula.

“Selain harga getah yang rendah, pekebun kecil seperti saya juga susah nak cari penoreh getah kerana banyak tanah sudah ditanam kelapa sawit, orang muda tak minat jadi penoreh kerana ia pekerjaan yang susah.

“Saya hanya mengupah seorang penoreh, iaitu penduduk kampung. Itu pun selepas jenuh dipujuk. Memang susah nak cari penoreh sekarang malah saya difahamkan pekebun getah yang lain di sini terpaksa menoreh sendiri kerana tiada penoreh,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurutnya, dia tetap me­ngusahakan kebun getah tersebut sebagai amanah keluarga selain tanaman itu mendapat bantuan subsidi daripada kerajaan.

“Saya berharap harga getah naik supaya ramai yang berminat dengan pekerjaan ladang ini,” katanya.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, lebih 150,000 penoreh yang memiliki keluasan kebun getah kurang dua hektar terjejas pendapatan kerana tidak menikmati harga komoditi yang kini melonjak lebih RM4 sekilogram sejak bulan lalu.

Ahli Jawatankuasa Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Pahang, Anuar Mustakim berkata, perkara itu berlaku kerana harga getah sekerap yang dibeli pusat pengumpul atau pembeli berlesen tidak selaras di kebanyakan tempat di seluruh negara khususnya di luar bandar.

Bagi kawasan luar bandar harga getah yang ditawarkan pihak pembeli antara RM3 hingga RM3.50 sahaja, begitu juga kawasan pedalaman ada kala­ngan pekebun cuma memperoleh kurang RM2.50.

Keadaan ini lebih teruk apabila ada penoreh yang cuma menerima hasil jualan getah kurang RM2 sekilogram khususnya kawasan yang jauh daripada bandar dan pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli di Pahang dan tempat-tempat lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN