KETIKA seorang daripada anggota kumpulan SMDX yang berasal dari Sabah mencetuskan kontroversi dan perasaan jelik dalam kalangan ramai dengan terang-terangan mengakui tidak mengenali siapa Dolla, warganet tidak mengambil masa yang lama untuk mengkritik wanita berusia 20-an tersebut.
Ia bukan soal kenal atau tidak siapa Dolla meskipun sudah jelas, kumpulan yang bernaung di bawah Universal Music Malaysia itu sudah mengukir kejayaan hingga ke luar negara menerusi lagu-lagu hits mereka.
Apa yang kita mahu tekankan ialah mengenai kelakuan tidak manis anggota SMDX itu yang sepatutnya boleh dielak sekiranya dia pandai membawa diri sebagai artis baharu.
Keadaan ini mungkin wujud juga dalam kalangan artis baharu yang lain. Cuma, barangkali, mereka cerdik sedikit dengan tidak menyebarkan aib atau kelemahan sendiri secara terbuka di media sosial.
Melayangkan pertanyaan kepada Iman Troye, dia yang juga masih muda dan dianggap antara pelapis baharu berpotensi dalam industri seni sedar bahawa sikap dan kelakuan yang baik perlu ada dalam diri setiap artis.
Ini kerana, perjalanan untuk mengukir nama dan populariti dalam industri seni itu bukan mudah dan di sepanjang laluan itu sudah tentu akan bertemu orang-orang dan pemain hebat dalam industri.
Iman juga ada pandangan tersendiri saat ditanya mengenai perkara ini. Namun lebih selesa untuk tidak bersifat menghentam.
“Bagi saya isu begini ada dua bahagian. Maksud saya dua bahagian itu ialah dari sisi orang nampak kita atau diri kita sendiri.
“Saya berkongsi sedikit mengenai pengalaman sendiri. Masih saya ingat, semasa masuk dalam industri seni ini, saya adalah orang yang sangat gembira.
“Saya dapat pergi ke Radio Televisyen Malaysia (RTM), Sri Pentas, Astro dan bertemu banyak orang industri seni tak kira siapa. Saya berpeluang meneroka semuanya dan paling menarik, berjumpa dengan ramai artis yang sebelum ini, dari kecil saya cuma dapat tengok mereka di kaca televisyen,” katanya.
Luah Iman, keseronokkan itu bukan kerana dapat berjumpa dengan artis-artis lama itu semata-mata. Tetapi apa yang lebih utama adalah bagaimana dirinya meraih ilmu dan belajar selok belok dunia seni hiburan dengan melihat cara orang lama membawa diri sebagai seorang artis atau selebriti.
“Sebagai contoh, saya berpeluang jumpa Ziana Zain, Datuk Awie, Misha Omar. Mereka sangat positif dan merendah diri sedangkan mereka adalah orang lama dan bahkan, antaranya kita boleh anggap sebagai legenda hidup.
“Tetapi mereka boleh tegur saya yang masih merangkak dalam industri seni ini dan melayan dengan baik. Jadi, kita yang masih baharu ini tak perlu pun rasa bongkak atau nak pandang rendah pada orang lain.
“Bagi saya, semua manusia adalah sama. Bahkan dalam hal ini, saya sebenarnya sangat menghormati artis lama sama macam saya menghormati ibu bapa yang sebahagiannya saya anggap seakan abang dan kakak sendiri,” katanya.
Tambah penyanyi yang popular dengan lagu Teman dan Nang ini lagi, dia percaya, sikap menghormati orang lain dan pandai membawa diri itu adalah antara kunci kejayaan manis buat seseorang artis yang mahu terus kekal relevan dalam dunia seni hiburan.
“Saya tidak cuma berkata begini bagi merujuk kepada kumpulan itu. Secara peribadi, apa yang boleh saya katakan, hormatilah orang di sekeliling kita.
“Anda boleh jadi diri sendiri dan berseronok dalam industri seni hiburan ini. Tetapi kena juga pandai bawa diri. Saya fikir, apa yang terjadi terhadap kumpulan terbabit (SMDX), mungkin kerana mereka terlepas pandang.
“Maklumlah mereka artis dari Sabah. Macam Kelantan pun ada artis mereka sendiri, begitu juga di Sabah. Jasi bila mereka masuk arus perdana, mungkin mereka tak kenal orang.
“Saya pun tak mahulah mudah menuduh mereka itu bongkak atau sombong. Kita cuba cari sudut positif. Malah, bagi saya semua orang berhak dapat peluang kedua.
“Semua orang buat silap, kita pun manusia biasa. Jadi doa yang baik sahaja. Mungkin mereka betul tak kenal artis lain dan sibuk dengan kehidupan mereka sendiri,” katanya.











