PETALING JAYA: Skuad hoki kebangsaan akhirnya berjaya melakar kemenangan pertama saingan terakhir Kumpulan B Piala Negara-Negara di Poland selepas menewaskan pasukan tercorot, Kanada 4-2.
Keputusan itu menyaksikan Speedy Tigers di bawah kendalian Sarjit Singh masih berada di tangga ketiga kumpulan dengan mengutip empat mata selepas seri dengan Pakistan serta tewas kepada Perancis.
Aksi yang berlangsung di Stadium Hoki Gneizno itu menyaksikan Malaysia terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Fitri Saari yang menyempurnakan gol padang.
Speedy Tigers kemudian menambah gol padang menerusi pemain sensasi, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal selang empat minit kemudian.
Skuad negara mula menunjukkan penguasaannya apabila Syed Syafiq Syed Cholan menyempurnakan pukulan sudut pada minit ke-22 sebelum tamat separuh masa.
Memasuki separuh masa kedua, Kanada cuba bangkit apabila Roopkanwar Dhillon meledak gol pada minit ke-41 selepas dihadiahkan pukulan sudut.
Selang satu minit permainan, pemain Malaysia, Mujahir Abdu Rauf terus merobek gawang Kanada selepas menjaringkan gol keempat negara.
Kanada melihat benteng pertahanan Speedy Tigers semakin goyah, namun hanya mampu menutup permainan dengan dua gol sebelum Maansarovar Sidhu meledak pada minit ke-51.
Kemenangan pertama Speedy Tigers gagal mengubati kekecewaan selepas kekurangan jaringan untuk mendaki tangga kedua kumpulan selain mengharapkan Pakistan tewas kepada Perancis.
Menurut format kejohanan, hanya dua pasukan teratas dalam kumpulan layak ke separuh akhir.
Skuad negara bakal meneruskan saingan kejohanan terbabit bagi kedudukan tempat kelima hingga lapan terbaik. – UTUSAN










