Negara rugi RM3.5 bilion sindiket 'kontena terbang'

Negara rugi RM3.5 bilion sindiket ‘kontena terbang’

Sebahagian daripada barangan yang dirampas dalam kontena yang dipercayai membuat pengisytiharan palsu kepada Kastam Diraja Malaysia baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Satu sindiket penyeludupan terbesar di Pelabuhan Klang berjaya dibongkar Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDM) melalui operasi khas di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur melibatkan anggaran ketirisan cukai sebanyak RM3.5 billion.

Dalam Operasi melibatkan gabungan pasukan Risikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), JKDM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu menahan sebanyak 19 buah lori kontena yang disyaki membawa barangan lari cukai pelbagai jenis yang diseludup keluar tanpa melalui pemeriksaan.

Menurut sumber, siasatan awal mendapati sindiket ini memiliki lebih 10 syarikat forwarding yang digunakan bagi menyeludup barang-barang import dengan membuat pengisytiharan cukai palsu.

“Hasil risikan yang dijalankan lebih daripada tiga bulan mendapati modus operandi sindiket adalah menggunakan pelbagai syarikat forwarding yang didaftarkan atas nama-nama individu yang tidak tahu menahu mengenai urusan import serta eksport berkenaan.

“Ia bertujuan mengaburi mata pihak berkuasa selain membolehkan ahli-ahli sindiket ini terlepas daripada sebarang tindakan dengan alasan tidak mempunyai tiada kaitan dengan syarikat-syarikat berkenaan,” katanya semalam.

Menurut sumber itu lagi, sindiket ini dipercayai didalangi seorang lelaki warga asing yang beribu pejabat di luar negara dan telah beroperasi sejak lebih 10 tahun lalu.

Katanya, dianggarkan sindiket ini menguruskan lebih kurang 3,000 kontena sebulan dengan anggaran ketirisan cukai bagi tempoh 10 tahun beroperasi sebanyak RM3.5 billion berdasarkan cukai minimum RM7,000 bagi setiap kontena.

“Bagi mengelak dikenakan cukai, sindiket ini membuat pengisytiharan palsu menggunakan borang Kastam 9 (untuk tujuan pecah kecil pukal) dengan mengisytihar barangan tidak bercukai seperti ‘wheel chair’ dan barangan perubatan,” katanya.

Katanya, hasil risikan juga mendedahkan, ‘kontena terbang’ ini akan memasuki Gudang Berlesen Awam (GBA) Pelabuhan Utara hanya untuk tempoh 10 hingga 15 minit tanpa melalui proses pemeriksaan kastam dan seterusnya dibawa keluar dari pelabuhan untuk diedarkan ke seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan SPRM telah mendapat perintah reman selama empat hari dari Mahkamah Majistret Putrajaya pagi semalam terhadap dua individu.

Menurut Azam, siasatan akan dijalankan secara menyeluruh termasuk di bawah Akta SPRM 2009, Akta Pengubahan Wang Haram, Akta Kastam 1965 dan Akta di bawah Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Pada masa sama, SPRM amat mengalu-alukan kerjasama daripada Ketua Pengarah JKDM atas kerjasama yang diberikan serta berharap ketua-ketua jabatan mengambil langkah seumpama ini untuk mengekang isu-isu rasuah dan ketirisan di agensi masing-masing.

“Kami mengenal pasti identiti semua pihak termasuk dalang utama yang dipercayai berada di luar negara, pemilik syarikat, agen-agen forwarding serta pegawai-pegawai kastam yang bersekongkol dengan sindiket ini dan akan menahan mereka dalam masa terdekat.

“SPRM juga akan memohon bantuan agensi negara luar bagi membantu mendapatkan maklumat mengenai akaun-akaun milik dalang utama ini agar tindakan yang bersesuaian dapat diambil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×