Sungai Bakap jiran kita, lalat dari sana biasa terbang ke Kulim - Sanusi - Utusan Malaysia

Sungai Bakap jiran kita, lalat dari sana biasa terbang ke Kulim – Sanusi

MUHAMAD SANUSI MD NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Undi ahli dan penyokong parti yang tidak bersetuju dengan tindak-tanduk pemimpin mereka dalam kerajaan Perpaduan bakal menjadi antara faktor yang membawa kemenangan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, perkara itu pernah berlaku dalam pilihan raya negeri (PRN) terutamanya di Kedah yang momentum itu diyakini berterusan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.

Menurutnya, terlalu banyak isu melingkari kerajaan Perpaduan ketika ini sehingga membawa kepada rasa tidak puas hati rakyat, termasuk sebahagian ahli serta penyokong parti terlibat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Di Kedah, orang parti itu memang undi PN pun sampai mereka habis terus. Jadi momentum sokongan ahli parti mereka menyokong kita seperti ditunjukkan dalam PRN lalu akan berterusan di Sungai Bakap.

“Sungai Bakap itu jiran kita saja, malah lalat dari Sungai Bakap itu biasa terbang ke Kulim dan sebaliknya. Begitulah nak menunjukkan betapa dekatnya kedua-dua lokasi tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi bagaimanapun enggan menamakan parti dimaksudkannya namun beliau dipercayai merujuk kepada ahli dan penyokong UMNO.

Mengulas lanjut, beliau kasihan dengan parti politik berkenaan yang didakwa semakin lemah walaupun sedang bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Mereka tunggu (dalam kerajaan) pun runtuh malah tinggalkan pun runtuh. Buat apa tunggu situ lagi? Kesian saya tengok macam melukut di tepi gantang,” katanya.

Menjawab Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof yang mendakwa gelombang PN kian pudar hingga membuka peluang PH merampas Sungai Bakap, beliau mendakwa keadaan itu berlaku kerana saingan diberikan parti lawan juga tidak sekuat mana ketika ini.

“Buat apa kita pulun 100 kilometer per jam (km/j) kalau saingan kita cuma boleh pergi setakat 30 km/j saja? Lebih baik kita kendurkan sikit, maka tidak letih sangat dan minyak pun tak ‘makan’ banyak. Prestasi mereka teruk, kita tak perlu laju-laju. Mereka mana ada gelombang pun sedangkan kita ada juga walaupun pudar,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×