Rumah Madu Terengganu dibuka

Rumah Madu Terengganu dibuka

SHAMSUL Bahri Abd. Razak (kanan) membincangkan sesuatu dengan seorang ahli jawatankuasa Pelekat mengenai madu jenama T-Ganu di Rumah Madu Terengganu di Wakaf Tembesu, Kuala Nerus, kelmarin. –UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Persatuan Lebah Kelulut Terengganu (Pelekat) membuka Rumah Madu Terengganu yang pertama di Malaysia sebagai pusat sehenti kepada ahli memasarkan produk mereka dengan lebih tersusun dan meluas.

Penasihat Pelekat, Prof. Shamsul Bahri Abd Razak berkata, premis tersebut yang terletak di Wakaf Tembesu di sini direalisasikan hasil bantuan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu dengan peruntukan RM35,000.

Beliau berkata, kemudahan premis tersebut disediakan untuk membantu 148 ahli persatuan itu menjana pendapatan lebih lumayan, sekali gus meningkatkan taraf sosio ekonomi terutama golongan berpendapatan rendah.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurutnya, premis itu juga akan dijadikan pusat informasi dan tarikan eco-tourism negeri suatu hari nanti.

“Rumah Madu Terengganu itu akan menempatkan pelbagai rangkaian produk seperti kosmetik, sabun dan aromaterapi berasaskan madu kelulut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Rumah Madu Terengganu di sini, kelmarin.

Shamsul Bahri memberitahu, pada masa ini, pengeluaran madu kelulut ahli Pelekat menjangkau sehingga 20 tan matrik setahun yang dijual pada harga antara RM120 hingga RM150 sekilogram.

Tambahnya, kualiti madu kelulut keluaran ahli yang dijenamakan sebagai T-Ganu Honey dijamin asli kerana melalui ujian ketulenan di Makmal Kualiti Madu Pantai Timur Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Katanya, makmal tersebut adalah satu-satunya yang ada di Pantai Timur dan dilengkapi dengan mesin High Perfomance Liquid Chroatograph (HPLC) yang berharga RM400,000.

“Pengguna tidak perlu meragui keaslian madu jenama T-Ganu Honey yang dijual di pasaran kerana madu tersebut menjalani ujian ketulenan sebelum dijual di pasaran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN