MELAKA: Petisyen bagi membatalkan pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan (ZBK) di sekitar Banda Hilir di sini, berjaya mengumpulkan lebih 1,800 tandatangan sejak dilancarkan bulan lalu.
Ketua Penerangan Pertubuhan Ikatan Cina Melaka, Brian Goh berkata, petisyen itu ditandatangani wakil persatuan, peniaga dan pekerja daripada pelbagai sektor ekonomi yang terkesan dengan pelaksanaan berkenaan.
Katanya, pendapatan para peniaga merudum sehingga 80 peratus sejak ia mula dilaksanakan sejak Ogos tahun lalu.
“Petisyen ini bertujuan mendapatkan ruang bersama kerajaan negeri untuk berbincang dan mendengar keluhan para peniaga. Sejak ZBK dilaksanakan pendapatan peniaga merosot antara 30 hingga 80 peratus.
“Penutupan jalan mengakibatkan kesukaran peniaga mendapat pelanggan. Pengunjung yang membawa anak kecil dan warga emas enggan berjalan jauh selain kawasan parkir yang disediakan tidak mencukupi
“Kami bukan mahu membantah, menuduh atau menyalahkan sesiapa tetapi ini adalah suara sebenar rakyat. Kami tidak tolak pembangunan namun kebajikan kami sebagai rakyat harus dibela sewajarnya,” katanya dalam sidang akhbar penyerahan petisyen di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, semalam.
Hadir sama Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub dan Pengerusi Pertubuhan Peduli Buruh Wanita Malaysia (Peduli), Kintan Man.
Brian dan Kintan yang mewakili peniaga menyerahkan petisyen kepada wakil Ketua Menteri yang juga Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.
Dalam pada itu, Mohd. Yadzil menggesa kerajaan negeri mendapatkan maklum balas secara lebih terperinci dan menyeluruh.
Menurutnya, rata-rata peniaga ditemui mengeluh dan mendakwa ZBK sebenarnya gagal memberikan impak positif.
“Alasan penutupan jalan untuk mengurangkan gegaran di sekitar Bangunan Merah juga tidak munasabah. Di George Town (Pulau Pinang) ada juga bangunan diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tapi tidak pula jalan ditutup,” ujarnya. – UTUSAN











