RM1 sejak 45 tahun lalu

RM1 sejak 45 tahun lalu

PERKHIDMATAN ditawarkan hospital kerajaan setanding, malah ada yang lebih baik daripada hospital swasta. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan dicadang menaikkan caj rawatan hospital awam daripada RM1 yang dikenakan sejak 45 tahun lalu kepada kadar lebih munasabah, disebabkan kos perubatan yang semakin mahal.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar perubatan kesihatan awam dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar berkata, sudah tiba masa kerajaan mempertimbang cadangan menaikkan caj rawatan hospital awam kepada antara RM5 hingga RM10.

“Sudah banyak kajian dilakukan.Dengan kenaikan ini juga rakyat akan lebih cakna dalam menjaga kesihatan mereka,” katanya.

Bekas Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dalam hantaran di X sebelum ini, berkongsi gambar resit caj rawatan perubatan bagi warganegara pada 1979 yang sehingga kini masih kekalkan RM1.

Dalam gambar tersebut memaparkan rawatan yang dikenakan berharga RM1 melibatkan perkhidmatan X-ray dan pemeriksaan kesihatan.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan mencadangkan kepada Parlimen supaya bayaran perkhidmatan penjagaan kesihatan awam dinaikkan untuk golongan kaya.

Ia supaya isi rumah berpendapatan tinggi membayar perkhidmatan itu mengikut kemampuan kewa­ngan mereka berdasarkan Kertas Putih Kesihatan (HWP) yang pada mulanya dijadualkan dibentangkan oleh bekas Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa pada 14 Jun 2023.

Mengulas lanjut Dr. Zainal Ariffin berkata, kenaikan caj rawatan hospital bagaimanapun tidak boleh dilakukan secara drastik.

“Kenaikan perlu dibuat secara bersasar dan berperingkat. Perkara itu perlu mempunyai mekanisme untuk semua golongan rakyat sebagai contoh mekanisme insurans kesihatan negara,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Ikram Health Malaysia, Dr. Mohd. Afiq Mohd. Nor berkata, caj rawatan RM1 adalah simbolik kepada Kementerian Kesihatan yang bertanggungjawab memberikan rawatan kepada rakyat dan bukannya digunakan untuk menampung kos rawatan.

“Namun, hasil daripada caj rawatan RM1 ini tetap akan menyumbang kepada tanggungan kos dalam penambahbaikan perkhidmatan, fasiliti perawatan dan juga kebajikan staf.

“Terdapat banyak aspek yang perlu dipertimbang sebelum mengekalkan caj RM1 atau menaikkan caj tersebut supaya ia refleks kepada nilai kos rawatan yang diberikan kepada pesakit dan nilai kerja-kerja staf kementerian yang overwork dengan tugasan harian mereka.

“Kos rawatan yang sema­kin tinggi sekarang pula boleh membebankan kerajaan untuk menampung sepenuhnya, seterusnya menjejaskan perkembangan perkhidmatan, penambahbaikan hospital, fasiliti dan kemudahan, serta kebajikan staf,” katanya.

Beliau yang juga pakar perubatan kecemasan Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM) berkata, jika ia perlu dinaikkan, ia perlu dilakukan secara bersasar didahului dengan usaha reformasi tatakelola pentadbiran dan pengurusan lebih cekap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×