SEREMBAN: Pelaksanaan semula projek pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura bakal meningkatkan permintaan perumahan di Negeri Sembilan khususnya di daerah ini.
Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) Negeri Sembilan, Desmond Yap Poh Seng berkata, pengaktifan semula projek berkenaan juga disambut baik dan dapat merancakkan pembangunan hartanah di kawasan sekitar pembinaan stesen Seremban seperti dirancang sebelum ini.
Beliau berkata, mereka yang bekerja di Kuala Lumpur atau Singapura sudah tentu boleh memilih tinggal di Negeri Sembilan untuk menikmati kualiti hidup lebih baik kerana kesesakan kurang dan kepadatan yang lebih rendah.
“Lagipun, kos kehidupan di Negeri Sembilan juga lebih rendah berbanding Singapura dan Kuala Lumpur. Ini terbaik buat pekerja yang boleh bekerja dari rumah dan tidak perlu masuk ke pejabat setiap hari,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurutnya, perkembangan terkini mengenai projek HSR menarik minat banyak pemaju untuk ke kawasan di sekitar Labu di sini.
“Perancangan projek HSR sebelum ini telah meluluskan sebuah stesen HSR di kawasan Gadong, Labu di dalam kawasan Lembah Wawasan Malaysia (MVV). Banyak pemaju menunjukkan minat terhadap kawasan ini,” kata Desmond.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini memaklumkan, kerajaan kini sedang mengkaji model pelaksanaan baharu bagi meneruskan cadangan pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.










