PONTIAN: Kira-kira 2,000 penduduk Kampung Sawah, Pekan Nanas, dekat sini masih menanti pelaksanaan projek naik taraf jambatan di kampung tersebut.
Mereka mendakwa sudah menanti selama enam tahun sejak 2018, tetapi ‘bayang’ jambatan baharu tidak kelihatan yang merupakan laluan penting ke Pekan Nanas.
Seorang penduduk, Ahmad Rastam, 72, mendakwa, keadaan jambatan sementara itu berbahaya apabila kenderaan berselisih, terutamanya apabila melibatkan lori pasir, treler dan lori tangki.
“Keadaan jalan ini sibuk pada waktu pagi kerana menjadi laluan pelbagai kenderaan keluar dari Plaza Tol Kulai menuju ke Pekan Nanas, Gelang Patah dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).
Sekarang dah masuk pertengahan tahun, tetapi masih tiada tanda-tanda projek itu hendak dilaksanakan atau kami terpaksa tunggu hingga tahun depan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Sawah, dekat sini.
Seorang lagi penduduk, Anuar Salleh, 65, dengan sinis menyatakan akan mendirikan ‘khemah’ di atas jambatan tersebut sekiranya Jabatan Kerja Raya (JKR) masih gagal melaksanakan projek tersebut pada tahun ini.
“Kalau setahun dua, penduduk masih boleh bersabar, tetapi kini sudah enam tahun berlalu, tetapi projek masih gagal dilaksanakan oleh pihak yang diberi tanggungjawab,” katanya.
Anuar yang juga pemandu kereta sewa berkata, jalan Kampung Sawah itu juga menjadi laluan utama bagi orang ramai untuk beriadah ke Hutan Lipur Gunung Pulai 2 dan Gunung Pulai 1.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Tan Eng Meng memberitahu, pihaknya dimaklumkan oleh JKR bahawa projek itu sedang dalam proses tawaran tender kepada kontraktor.
“Saya ambil maklum tentang rungutan dan aduan penduduk mengenai projek jambatan tersebut dan diharap dilaksanakan segera bagi demi kepentingan dan keselamatan orang ramai,” katanya.







