SAUDARA PENGARANG,
SEMPENA Hari Vape Sedunia, Malaysia Vapers Alliance (MVA), sebuah kumpulan advokasi pengguna vape tempatan, ingin mengetengahkan isu kritikal yang sering diabaikan iaitu persepsi salah Malaysia terhadap vape.
Bukti menunjukkan bahawa vape adalah 95 peratus kurang memudaratkan berbanding rokok, tetapi 74 peratus perokok di seluruh dunia percaya bahawa vape adalah sama bahaya atau lebih. Paling teruk di Malaysia, salah tanggapan juga berleluasa sehingga menghalang jutaan perokok daripada membuat keputusan yang berpotensi menyelamatkan nyawa.
Pendekatan Sweden untuk mengurangkan kemudaratan dengan menawarkan kajian yang menarik. Dengan menyokong produk nikotin yang kurang memudaratkan, Sweden berada di ambang negara bebas asap rokok.
Pendekatan pragmatik ini seharusnya memberi inspirasi kepada dasar global. Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terus menentang produk ini, memburukkan lagi krisis merokok. Pendekatan ini adalah tidak betul dan meletakkan jutaan nyawa dalam bahaya.
Kepercayaan bahawa vape adalah memudaratkan seperti merokok adalah perkara mencemaskan dalam kesihatan awam. Banyak kajian, termasuk dijalankan Public Health England, secara konsisten menunjukkan vape kurang memudaratkan. Bagaimanapun, maklumat salah yang berterusan menghalang perokok daripada memahami pilihan yang mereka ada.
MVA menggesa kerajaan untuk mencontohi kejayaan Sweden dan New Zealand, yang menyediakan maklumat tepat untuk membantu perokok beralih kepada alternatif yang kurang memudaratkan.
Dengan mengurangkan kelaziman merokok di negara ini dan memperbaiki penyakit berkaitan merokok, ia mampu menyelamatkan nyawa. Adalah penting untuk sistem penjagaan kesihatan maklum mengenai perkara ini dan menyediakan pendekatan berhenti merokok yang lebih selamat untuk perokok.-UTUSAN
KHAIRIL AZIZI KHAIRUDDIN
Presiden MVA










