PETALING JAYA: Peguam yang mewakili ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin yang kini ditahan reman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan menarik diri sebagai peguam mereka bermula hari ini.
Mahmud Jumaat dari Tetuan Emir Mahmud & Co berkata, beliau ingin memaklumkan bahawa dirinya menarik diri dari mewakili ibu bapa Allahyarham Zayn Rayyan kerana ingin memberi tumpuan kepada kes-kes lain yang sedang dikendalikan.
“Saya berdoa agar perjalanan kes ini berjalan lancar mengikut proses undang-undang sedia ada.
“Sebagai pengamal undang-undang, saya ingin menasihati semua pihak agar menghormati proses undang-undang dan tidak membuat spekulasi liar mengenai kes ini demi kebaikan bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Mahmud dilantik keluarga ibu bapa Zayn Rayyan selepas pasangan berusia 28 tahun itu ditahan polis di kediaman keluarga mereka di Puncak Alam Jumaat lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, ibu bapa kanak-kanak terbabit direman seminggu bermula bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Mayat Zayn ditemukan di saliran air kira-kira 200 meter dari rumahnya pada pukul 9 malam 6 Disember lalu. Mangsa kemudian disahkan dibunuh berdasarkan hasil bedah siasat yang menemui kesan kecederaan pada leher dan badannya.
Sehari sebelum itu, polis mengesahkan pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada pukul 6.30 petang oleh keluarganya.











