TAIPING: Kerajaan negeri dalam proses peringkat untuk memindah milik tanah di kawasan Batu 11 Lebuhraya Timur-Barat berhampiran Gerik bagi pembinaan Santuari Gajah.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Hijau dan Teknologi negeri, Teh Kok Lim berkata, ia bagi menyelesaikan isu kacau ganggu mamalia tersebut di laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB).
Menurutnya, lokasi untuk pembinaan santuari itu telah dikenal pasti dan kerajaan negeri kini dalam peringkat untuk pindah hak milik tanah kawasan berkenaan kepada kerajaan Persekutuan.
“Sebaik sahaja proses itu selesai ia akan terus dilaksanakan segera,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Jom Melawat Zoo Taiping di Pavillion Zoo Taiping & Night Safari, di sini kelmarin.
Sebelum ini, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengumumkan pembinaan sebuah Santuari Gajah Perak (PES) di Batu 11 Lebuhraya JRTB berhampiran Gerik.
Projek itu disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12) dibangunkan dengan kos RM40 juta dalam usaha berterusan memulihara haiwan liar itu termasuk menangani konflik antara gajah dan manusia.
Sementara itu, seramai 560 murid dan pelajar sekolah dari 28 buah sekolah rendah dan menengah dalam Parlimen Taiping telah menyertai Program Jom Melawat Zoo Taiping secara percuma.
Menurut Kok Lim, sebanyak RM20,000 diperuntukkan oleh Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh untuk melaksanakan program tersebut yang bermula dari 30 Mei hingga kelmarin. – UTUSAN











