PAPAR: Isu miskin tegar di Sabah sukar dinoktahkan sebelum hujung Julai ini seperti yang dihasratkan Kerajaan Pusat.
Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, berdasarkan hakikat sebenar, jumlah miskin tegar yang berada di Sabah jauh lebih besar, bukan sekadar 10,000 orang.
“Kalau berdasarkan fakta dari segi jumlah yang ada, saya yakin ia tidak dapat diatasi kerana jumlahnya jauh lebih besar, bukan hanya 10,000 orang. Kalau di Pulau Sebatik, Pitas dan Long Pasia ramai (miskin tegar), bukan ratusan tapi ribuan. Itu baru satu, dua daerah, bayangkan berapa banyak daerah yang ada di Sabah.
“Jadi saya harap bukan hanya tafsirannya, bagaimana miskin tegar ini dinilai. Ramai tiada kerja di Sabah, ramai tiada pendapatan. Jangan bilang (pendapatan) satu hari, satu bulan pun langsung tiada. Kerja mereka cuma tanam sayur, tangkap ikan untuk kegunaan sendiri.
“Malah, jika dilihat di Kampung Kuala ini, apabila saya dampingi rakyat, nelayan yang ada, ada musim mereka dapat RM50, ada yang dapat RM100 dan RM150 untuk tampung kehidupan sekeluarga.
“Ada antara mereka mempunyai tiga hingga empat orang anak,” katanya semasa program ziarah kasih di Kampung Kuala, di sini semalam.
Ketika berucap pada Majlis Penutupan Pesta Kaamatan 2024 di Penampang, baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masalah kemiskinan tegar di Sabah akan diselesaikan sebelum akhir Julai ini menerusi usaha yang dilaksanakan hasil kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan negeri. – UTUSAN










