SAUDARA PENGARANG,
ISU kenaikkan tarif baharu kategori domestik yang berkuatkuasa mula Februari lalu dianggap satu kenaikkan drastik yang terlalu tinggi serta melampau selain membebankan pengguna yang majoritinya dari golongan B40.
Bil air terkini yang diterima untuk Mei mendatangkan seribu persoalan tentang mekanisme yang digunapakai oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam mentakrifkan kenaikkan mendadak sehingga membebankan pengguna yang ketika ini berdepan kesempitan ekonomi akibat peningkatan kos keperluan hidup masih berlarutan.
Sebagai contoh mudah, saya menjelaskan bil terakhir pada Mac berjumlah RM52 namun bil terkini bertarikh 23 Mei meningkat kepada RM115, iaitu peningkatan hampir RN70.
Yang hairannya, kenaikan bil itu tanpa sebarang kebocoran serta tahap penggunaan yang terkawal.
Soal tentang bagaimana perkiraan kadar baharu tarif air dinaikkan dan formula yang digunapakai itu adalah urusan PBAPP, namun jangan sampai ke tahap kenaikkan melampau.
Keadaan sedemikian turut berlaku serta menjadi rungutan serius dalam kalangan pengguna yang mengharapkan supaya pihak berwajib dapat mengkaji semula kenaikkan drastik yang dianggap sebagai satu lagi peningkatan kos bebanan hidup terhadap rakyat negeri ini .
Walaupun PBAPP menasihatkan supaya pengguna yang terkesan dengan kenaikkan tarif air membuat laporan bagi tujuan semakan namun ini tidak bererti bahawa bil berkenaan tidak perlu dibayar .
Untuk menaikkan tarif air kepada pengguna bagi tujuan meningkatkan mutu pengurusan agensi berkenaan bukanlah suatu kesalahan malah amat dialu-alukan tetapi tidak sehingga mendatangkan bebanan kepada rakyat .
Wujud kerisauan serta tanggapan sinis rakyat khususnya golongan B40 jika keadaan sebegini gagal ditangani segera malah tarif air semakin meningkat ‘sesuka hati’ maka, tidak mustahil atas desakan hidup, mereka terpaksa menjadikan air longkang sebagai minuman rutin harian .
Justeru itu saya menggesa Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, yang juga selaku Pengerusi Bukan Eksekutif PBAPP melihat isu berkenaan secara serius bagi tujuan meringankan bebanan rakyat di negeri ini.
RAHMAD ISAHAK
Aktivis politik










