BATU PAHAT: Memasuki hari kelapan kehilangan pelajar Sekolah Menengah Agama Parit Raja (SMAPR) usaha pencarian diperluaskan ke kawasan sekitar kebun kelapa sawit, longkang dan tali air berhampiran kediamannya di Tongkang Pechah, dekat sini.
Walau bagaimanapun, usaha ahli keluarga dan saudara mara terdekat Hafiz Fauzan Abdul Halid, 16, yang hilang belum menemukan sebarang petunjuk termasuk motosikal Honda Future 125cc berwarna hitam digunakan remaja itu ketika keluar rumah pada malam 26 Mei lalu.
Ayahnya, Abdul Halid Sugiman, 44, memberitahu, keluarganya akan meneruskan pencarian kerana yakin Hafiz Fauzan masih ada, namun tidak diketahui di mana kedudukannya sekarang.
“Hafiz merupakan salah seorang pemain bola sepak SMAPR dan perlu balik semula ke sekolah petang ini, namun hingga kini masih tidak diketahui sebab-sebab kehilangannya.
“Saya berharap dia akan ditemui atau pulang hari ini bagi membolehkannya meneruskan sesi pembelajarannya,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Hafiz Fauzan dilaporkan hilang selepas memaklumkan ayahnya untuk menonton perlawanan bola sepak di kedai makan berhampiran rumahnya di Taman Putera Indah, di sini.
Hafiz juga dikatakan ke Parit Ju untuk menjemput rakan sekolahnya, namun rakannya itu mengikuti rombongan sekolah ke Kuala Lumpur bagi mengunjungi pesta buku yang diadakan di sana.
Kehilangan pelajar tingkatan lima itu disedari oleh ayahnya ketika waktu pagi selepas mendapati motosikal digunakan ketika keluar tiada di halaman rumah mereka. – UTUSAN










