NIBONG TEBAL : Kemenangan Kerajaan Perpaduan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap nanti dianggap penting kerana ia umpama jatuhan domino pertama untuk menghalang kebangkitan ‘gelombang hijau’ ketika ini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim berkata, dalam hal ini, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap boleh menjadi salah satu daripada manifestasi kebangkitan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi hati rakyat.
“Sebenarnya, ini bukan soal menang dalam pilihan raya sahaja, tapi, ia lebih kepada usaha untuk mengembalikan keyakinan rakyat secara keseluruhannya terhadap hala tuju yang ditetapkan oleh negeri dan kerajaan Persekutuan.
“Saya yakin, sama seperti di KKB (PRK Kuala Kubu Bharu) sebelum ini, walaupun dalam keadaan yang sangat mencabar, banyak pandangan dan sentimen yang tidak menyebelahi kerajaan, namun, pemahaman rakyat terhadap perkara ini semakin baik dan lebih jelas,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas program Pelarasan Jentera Pemuda Perpaduan menjelang PRK Sungai Bakap di Rumah Rehat Awana, Kampung Besar di sini, malam tadi.
Hadir sama ketua-ketua sayap Pemuda negeri dari parti komponen di bawah Kerajaan Perpaduan termasuk PKR, UMNO, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Mengulas mengenai perbincangan sempena program tersebut, Adam Adli berkata, ia berlangsung dengan baik, penuh semangat dan harmoni dalam kalangan ahli sayap-sayap Pemuda berkenaan.
“Kita akan berusaha untuk tingkatkan kekuatan jentera Pemuda yang dimiliki oleh setiap parti komponen ini (dalam Kerajaan Perpaduan) bagi memastikan kemenangan di Sungai Bakap,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berharap agar pengundi-pengundi di DUN Sungai Bakap dapat menilai prestasi wakil daripada Kerajaan Perpaduan yang masih bekerja siang dan malam di kawasan tersebut walaupun mereka bukan wakil rakyat di situ.
“Kita terima (hakikat) bahawa kerusi DUN Sungai Bakap ini adalah kerusi yang berjaya dirampas oleh PN (Perikatan Nasional) secara mengejut dan sejak itu (kalah pilihan raya), kita terus bekerja hingga ke hari ini.
“Dalam hal ini, tentu sahaja kita juga terima banyak input, kritikan dan pandangan dari semasa ke semasa dan kita juga sentiasa cuba untuk perbaiki prestasi kita. Jadi, inilah masanya untuk kita buktikan di Sungai Bakap,” kata Adam Adli.-UTUSAN










