Aktiviti dan persembahan teater di negara ini banyak digerakkan oleh industri antaranya syarikat swasta dan Persatuan Teater Malaysia, meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Selain isu dana yang sering membantutkan aktiviti teater, seni persembahan itu juga berdepan cabaran lokasi persembahan yang sesuai sekitar ibu negara yang dikatakan masih kurang .
Ini kerana sejak 2019, Persatuan Teater Malaysia dan penggiat teater mulai mengadakan persembahan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) BP, Balai Budaya Tun Syed Nasir DBP dan Auditorium DBP berterusan hingga kini.
Itu pun perlu bersaing dengan program lain atau acara melibatkan agensi kerajaan dan acara komersial termasuklah antaranya kos penyewaan di Panggung Bandaraya dan Dewan Tunku Abdul Rahman Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) membuatkan BBK Seni teater memilih prasarana DBP.
Itu pun sekiranya ada kekosongan memandangkan DBP juga mempunyai program berkaitan sastera dan bahasa.
Berkongsi pandangan kepada Mingguan Malaysia, Presiden Persatuan Teater Malaysia, Sakrani Shamsuddin memberitahu, justeru pihaknya amat berterima kasih kepada Ketua Pengarah dan Pengurusan DBP yang memberikan ruang untuk menggunakan ruang di agensi tersebut bagi aktiviti seni persembahan teater.
“Tiada hab atau kompleks khusus untuk seni persembahan teater dibangunkan di Kuala Lumpur Tiada panggung bangsawan, mak yung, randai dan lain lain, “ ujarnya yang mesra dikenali sebagai Tukang dalam industri seni persembahan kerana kepakaran beliau membina set untuk persembahan teater di negara ini.
Justeru pihaknya berharap kerajaan dan kementerian yang dipertanggungjawabkan perlulah menyediakan prasarana untuk penggiat seni budaya seiring dengan kemajuan negara.
Ini kerana kerajaan perlu mengangkat dan memartabatkan seni budaya bagi mengekalkan identiti dan warisan sebuah negara.
Maka menurut beliau persatuan tersebut secara tidak langsung menjadikan DBP sebagai hab untuk berkarya dan mengurus persatuan. Ini kerana agensi berkenaan telah memberikan ruang pejabat pengurusan persatuan di Wisma DBP.
Beliau memberi contoh, persembahan teater muzikal karya Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said iaitu Lantai T Pinkie yang dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir beberapa bulan lepas dengan kerjasama syarikat CTRA Production adalah hasil usaha antara dua kementerian iaitu Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya serta Kementerian Pendidikan.
Namun menurut Sakrani yang juga Ahli Majlis Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Wilayah Persekutuan sampai bila hendak bergantung kepada DBP bagi tujuan mengadakan persembahan persembahan pentas sedangkan pihak berkenaan khususnya Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) perlu mengambil inisiatif membangunkan sebuah kompleks khas bagi memudahkan aktivis seni persembahan seperti teater, randai dan wayang kulit menggerakkan aktiviti masing-masing .
Beliau berkata, pihaknya bersama syarikat yang aktif dalam menggerak dan menganjurkan seni persembahan pentas tidak berdepan masalah untuk tujuan tersebut kerana naskah berkualiti untuk dipersembahkan banyak dan dana juga disediakan oleh Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya menerusi Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK).
Geran tersebut menawarkan dana sehingga RM500,000 yang boleh dipohon penggiat seni dan mula dibuka sejak Mac lalu.
Dana tersebut dimanfaatkan oleh persatuan tersebut bagi mementaskan semula teater Lantai T Pinkie yang mendapat sambutan menggalakkan.
Sakrani berharap dengan adanya sokongan dana tersebut, aktiviti persembahan pentas bertambah bagi mengisi aktiviti kebudayaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Aktiviti seni tersebut perlu diperbanyakkan bagi membantu mempromosi program tersebut dan pada masa sama, memanfaatkan bakat graduan seni persembahan yang dikeluarkan universiti tempatan seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Akademi Seni dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) selain dua universiti swasta iaitu Universiti Lim Kok Wing dan Kolej Sedaya.
Ini kerana menurut Sakrani, graduan berkenaan bergantung kepada usaha persatuan menganjurkan persembahan teater bagi memberi ‘kerja’ kepada mereka.
Dalam pada itu, naskhah teater berkualiti banyak tersimpan di DBP dan ini akan membantu mencari cerita yang menarik untuk dipersembahkan antaranya termasuklah Atap Genting Atap Rumbia dan Buat Menyapu Si Air Mata.
“Kita cuma buat persembahan bagi membolehkan graduan ini beraktiviti, “ ujarnya.
Dalam pada itu Sakrani berkata, persatuan tersebut merancang untuk menganjurkan Siri Panggung Bangsawan 2024 dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan disokong Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Bangsawan yang bakal dipentaskan antaranya termasuklah Puteri Golbadalperi (Kanak-Kanak & Remaja) yang arahan dan skrip oleh Dr. Zainatul Shuhaida Abdull Rahman pada 23 hingga 25 Ogos ini, Megat Terawis Karya Zayrul Iqwan Rosli dan diarahkan Rosli Rahman Adam pada pada 13 hingga 15 September 2024.
Pementasan lain adalah Bangsawan Puteri Maharani yang diarahkan dan skripnya ditulis oleh beliau. Semua pementasan diadakan di Auditorium DBP.
Menurut Sakrani, Siri Panggung Bangsawan adalah lanjutan daripada Siri Semarak Bangsawan yang dianjurkan oleh JKKN dan DBKL dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seni budaya semenjak 2007 hingga 2019.
Di antara nama penggiat teater yang lahir daripada program ini ialah Zaifri Husin, Rosnan Nordin, Dr. Lenny Erwan, Zulkarnain Ramly, Zack Zaideen, Khusairy Mahyuddin, Raja Azrey Raja Kamaruzzaman, Anne Zahureen dan Roydy Rokidy dan beliau.
Program tersebut turut mengangkat tokoh bangsawan antaranya Seniman Negara Rahman B, Dr. Samad Salleh, Kalam Hamidi, Morad Ibrahim dan ramai lagi.
“Program Siri Panggung Bangsawan dilihat sebagai tindakan pemeliharaan dan mengekalkan warisan seni negara kerana kesenian bangsawan itu sendiri telah diangkat sebagai Warisan Kebangsaan (Akta Warisan Kebangsaan 2005) “ ujar Sakrani.
Melalui Siri Panggung Bangsawan secara tidak langsung akan membangunkan seni bangsawan tempatan dan mengembalikan kegemilangan pementasan bangsawan sebagai satu cabang seni yang popular bagi menarik pelancong domestik dan luar negeri.
Persembahan Bangsawan perlu dipentaskan secara berterusan agar seni teater bangsawan akan terus menjadi warisan negara, hak milik Malaysia. – UTUSAN










