Salvo Cafe tawar makanan ala Mexico dalam kampung

Salvo Cafe tawar makanan ala Mexico dalam kampung

SOFHIE Salim menunjukkan antara menu makanan yang menjadi pilihan pengunjung di Salvo Cafe, Kampung Belat Batu, Jalan Tambun Tulang, Arau, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI sebalik suasana memenangkan di dalam kampung di Belat Batu, Jalan Tambun Tulang, Arau Perlis, siapa sangka di kawasan itu terdapat sebuah kafe yang menawarkan sajian unik ala Mexico buat para pengunjung yang dikenali Salvo Cafe.

Kebiasaan, kebanyakan pengusaha kafe menawarkan sajian ala Barat buat pelanggan mereka namun pengusaha Salvo Cafe di sini, dilihat cuba mengetengahkan kelainan dengan menawarkan sajian ala Mexico tersebut.

Dengan berlatar belakang pemandangan indah sawah bendang dan suasana kampung, konsep yang dibawa pemilik kafe tersebut, Sofhie Salim, 29, juga dilihat menjadi antara daya penarik buat pengunjung untuk ke kafe berkenaan.

Malah, dengan dekorasi dan susun atur di kafe berkenaan yang cantik juga berjaya mencetuskan ‘vibes’ tersendiri buat para pengunjung khususnya untuk berswafoto mahu pun merakam momen-momen indah bersama.

Sofhie berkata, Salvo Kafe mula beroperasi pada 2021 iaitu selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasa­kan di negara ini.

Katanya, selepas PKP, dia cuba mencari idea bagi mengusahakan satu perniagaan yang lain daripada lain dan mempunyai keunikan tersendiri seterusnya mewujudkan kafe itu.

“Jadi, bertitik tolak daripada situ, maka saya mendapat cetusan idea untuk membuka sebuah kafe dengan menyajikan makanan ala Mexico buat pengunjung kami sambil menikmati suasana ketenangan di kampung,” katanya.

Tambah Sofhie, pada peringkat permulaan, dia dan pasukannya membuat kajian dengan melakukan improvisasi terhadap makanan-makanan yang dijual di kafe itu agar mengikut cita rasa masyarakat tempatan.

Katanya, buat masa ini, semua pelanggan menyambut baik semua menu yang ditawarkan di kafe berkenaan dan turut memberi maklum balas yang menggalakkan dan positif.

“Pada peringkat permulaan kita juga kaji dulu untuk melihat pasaran kafe di sini dan kami dapati rata-rata pengusaha membuka kedai makanan ala Barat, maka disebabkan itulah Salvo Cafe cuba tampilkan kelainan dengan menawarkan makanan ala Mexico,” katanya.

Dalam pada itu, Sofhie berkata, antara menu yang mendapat permintaan tinggi di kafenya itu adalah seperti birria burrito, birria qursadilla dan bawawchikiwawa serta pelbagai lagi.

Katanya, menu birria qursadilla merupakan antara sajian terlaris berikutan keunikan rasa tersendiri yang disajikan bersama tortilla diisi keju, hirisan daging dan kentang goreng.

“Buat masa ini, kita menawarkan sekitar 14 menu makanan ala Mexico buat pengunjung dengan harga pula bermula daripada serendah RM10 sehingga RM25,” katanya.

Selain menumpukan kepada jualan maka­nan ala Mexi­co, Sofhie berka­ta, pihak­nya juga turut menawarkan kopi premium dan pelbagai minuman lain yang menarik.

Malah, graduan bidang seni reka itu berkata, Salvo Cafe turut menjual pelbagai hidangan pencuci mulut dalam memberi lebih pilihan buat para pelanggan mereka.

“Kita cuba mempel­bagaikan menu-menu di sini berikutan kebanyakan pelanggan gemar mencuba makanan-makanan unik yang menarik,” katanya.

Di samping itu, Sofhie berkata, Salvo Cafe beroperasi setiap hari kecuali Khamis bermula pukul 3 petang sehingga 12 tengah malam.

Katanya, kafe itu juga sering menjadi tumpuan golongan pelajar dan keluarga yang ingin meluangkan masa bersama-sama.

“Kebiasaannya, kafe ini akan dipenuhi pengunjung pada setiap kali musim cuti persekolahan atau cuti umum. Selain pelanggan dari Perlis, kami turut menerima pelanggan dari luar negeri ini yang ingin mencuba kelainan ditampilkan di kafe. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×