SEPANG: Polis menahan pasangan suami isteri selepas disyaki terlibat memasang pelekat bendera Israel di sebuah francais makanan segera di Kajang, awal pagi tadi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasangan yang masing-masing berusia 20-an itu ditahan selepas pihak polis menerima satu laporan semalam berkenaan kes tersebut.
“Dalam kes ini kita menangkap dua orang iaitu pasangan suami isteri dan merampas kereta serta pakaian yang mereka gunakan sewaktu kejadian.
“Hasil saringan awal ujian air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah,” katanya menerusi sidang akhbar di Bangunan AMC KLIA di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua suspek ditahan reman selama sehari bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 dan 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, beliau berkata, polis turut menerima sebanyak enam laporan sejak 28 Mei sehingga semalam berhubung kes francais makanan segera diconteng dengan perkataan jelik berkait isu semasa di Palestin.
Jelasnya, sebanyak empat kes diterima membabitkan sekitar Sungai Buloh, manakala dua lagi kes di Petaling Jaya.
“Dalam kes di Sungai Buloh dan Petaling Jaya, kami mengesyaki pelakunya adalah individu sama berdasarkan tulisan yang diconteng pada premis itu adalah serupa.
“Namun setakat ini belum ada tangkapan dibuat dan kita akan siasat juga sama ada ia berkait dengan pasangan suami isteri yang ditahan dalam insiden di Kajang,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menasihati orang awam supaya tidak terlalu fanatik sehingga melanggar undang-undang di negara ini.
“Pihak polis ingin memberi amaran kepada orang awam supaya tidak terlalu fanatik dalam isu keganasan yang berlaku di Palestin sehingga bertindak membelakangkan undang-undang sedia ada di negara ini yang boleh mengganggu gugat keamanan dan ketenteraman awam.
“Mana-mana individu yang melakukan kesalahan ini akan berdepan dengan tindakan undang-undang yang tegas,” ujarnya.
Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Hussein memaklumkan setakat ini masih tiada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya masih meneruskan siasatan bagi mengesan pihak yang menyebarkan video bahan bukti dalam kes pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim.
Media pada 23 Mei lepas melaporkan polis menyiasat pihak yang menyebarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) membabitkan kejadian simbah asid terhadap Faisal. – UTUSAN










