SAUDARA PENGARANG,
BAYANGKAN kita sedang menyaksikan perlawanan bola sepak di kaca televisyen atau stadium. Kedua-dua pasukan begitu ghairah merebut, menggelecek, menyepak, menangkis, menendang dan menolak bola ke sana ke mari .
Tetapi bolehkah kita membayangkan mereka bermain tanpa pintu gol? Jika tiada pintu gol, apa tujuan mereka beraksi begitu hebat. Berhempas pulas dan bermati-matian, tanpa tujuan dan matlamat. Akhirnya apa yang berlaku, pemain menjadi kepenatan tanpa tujuan, jurulatih jadi bosan, peminat akan beralih arah dan akhirnya seni permainan itu berkubur begitu sahaja.
Begitulah saya cuba membuat satu perbandingan dengan apa sedang dilalui oleh warga sekolah kebelakangan ini. Hari-hari hadir ke sekolah, beg berat diusung ke sana-sini, masuk kelas, keluar kelas tetapi apakah yang berlaku di penghujung sesi persekolahan. Hambar!
Guru bersara awal, murid ponteng sekolah, masalah disiplin berleluasa dan tunggulah apa lagi yang akan berlaku selepas ini.
Dalam keadaan negara kita yang saban hari mendengar serta menatap berita yang tidak masuk akal, kita tidak rela melihat kesucian sistem pendidikan dirobak-rabik sehingga sukar dicantum semula.
Sebelum nasi menjadi bubur, buatlah sesuatu yang menjadikan anak-anak rasa amat perlu ke sekolah untuk menjadikan mereka seseorang yang hebat dan bukan seperti yang terjadi kebelakangan ini.
Bertindaklah segera, kita sudah mula menyaksikan apa yang berlaku di Malaysia sekarang ini akibat kealpaan, kecuaian perancangan yang tidak terancang orang yang dipertanggungjawabkan sebelum ini dan janganlah pula sistem pendidikan kita akan menerima padah selepas ini. Jangan terhantuk baru terngadah.-UTUSAN
MD. RAZMAN SAMAON
Guru Pencen










