PETALING JAYA : Adalah tidak wajar kepimpinan UMNO ‘menikam belakang ‘ rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN) dan bertindak seolah-olah mampu menang di semua kerusi yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarraajh berkata, UMNO juga tidak sepatutnya bersikap ‘baling batu sembunyi tangan’ dengan meminta kerusi tradisi BN termasuk Parlimen Sungai Siput untuk bertanding dalam PRU -15.
Katanya, UMNO sebaliknya perlu menyelesaikan masalah dalaman terlebih dahulu sebelum mencampuri urusan rakan komponen.
“Kalau nak dikatakan rakan komponen tidak bertolak ansur dengan UMNO, saya cadang kita tanya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi mengapa dan untuk selamatkan siapa MIC lepaskan kerusi Cameron Highlands pada Pilihan Raya Kecil (PRK) lalu? Untuk selamatkan saya atau untuk selamatkan satu-satunya kerajaan negeri pimpinan BN.
“Jika tidak berpuas hati dengan MIC, anda boleh cakap terus terang dengan kami. Tidak perlu hantar wakil bercakap tentang perkara- perkara yang melibatkan hal ehwal Majlis Tertinggi BN, lebih–lebih lagi soal Parlimen Sungai Siput yang merupakan kerusi tradisi Presiden MIC,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Ketua Puteri UMNO Sungai Siput, Norazura Abdul Karim sebelum ini berkata, sudah sampai masanya MIC memberi laluan kepada parti itu untuk bertanding di Parlimen Sungai Siput susulan kegagalan MIC untuk merampas kerusi berkenaan yang pernah dianggap kubu kuat MIC bagi tiga pilihan raya umum (PRU) berturut-turut.
Dalam pada itu, Sivarraajh berkata, MIC dan MCA tidak pernah lari daripada UMNO walaupun ketika susah.
“UMNO harus menghargai pengorbanan kami, walaupun semasa pembentukan Kabinet di bawah Perikatan Nasional (PN) tahun lalu, Ahmad Zahid tidak membawa nama MIC untuk jawatan Kabinet dan senator.
“Walau bagaimanaupun atas dasar perjuangan BN, kami masih setia sehingga hari ini. Jangan beranggapan kesetiaan parti komponen ini membuta tuli. Belajar hormat Perlembangaan BN. Jangan anggap MIC atau MCA hanya sekadar menjadi ‘pak turut’ Kesetiaan kami pun ada hadnya,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE










