SAUDARA PENGARANG,
SETIAP kali menjelang musim haji akan kedengaran isu penipuan melibatkan perolehan visa haji oleh sesetengah pihak terhadap jemaah yang ingin menunaikan Rukun Islam kelima ini. Baru-baru ini, 300 jemaah yang terkandas di tanah suci melibatkan penyalahgunaan visa pelancong bagi tujuan menunaikan ibadah haji yang melibatkan kos puluhan ribu ringgit bahkan ada yang mencecah ratusan ribu ringgit yang dikendalikan oleh sesetengah agensi pelancongan yang tidak bertanggungjawab.
Perkara ini harus diteliti semula bagi meningkatkan kecekapan pengurusan giliran haji dan menutup ruang pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan terhadap jemaah yang tidak sabar menunggu giliran dengan mengambil ‘jalan pintas’ mengerjakan ‘haji koboi’ tanpa mengikut saluran rasmi dan sah sehingga mengabaikan aspek keselamatan dan kebajikan pihak yang terbabit.
Antara langkah yang boleh diambil oleh pihak berkaitan adalah mempertimbangkan semula kuota haji rayuan melalui ‘saluran perdana’ yang diluluskan kepada mahram dan pengiring dihadkan kepada yang benar-benar layak bagi memberi ruang bagi jemaah haji kali pertama. Pihak Kerajaan Arab Saudi telah membenarkan jemaah wanita mengerjakan haji tanpa mahram dan pihak tabung haji juga mempunyai ramai petugas di lapangan yang sangat berpengalaman mengendalikan kebajikan jemaah haji di tanah suci.
Disamping itu, pemberian subsidi haji yang bersasar kepada golongan B40 dan M40 bagi menunaikan ibadah haji perlu dikaji semula sama ada ia selari dengan konsep istita’ah yang digariskan Islam. Menurut satu laporan akhbar, penawaran subsidi atau bantuan kewangan haji tahun 2024 oleh Tabung Haji menelan kos sebanyak RM350.1 juta meliputi 63 peratus daripada kos haji untuk golongan B40, manakala 42 peratus bagi M40 selain bantuan kewangan tambahan RM1,000 kepada jemaah haji B40.
Perkara ini juga pernah disuarakan oleh Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff menyarankan agar pihak kerajaan melalui Lembaga Tabung Haji (TH) perlu bermuzakarah dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam menetapkan kaedah penyelesaian terbaik berhubung ibadah haji di Tanah Suci.
Pihak Tabung Haji juga dicadangkan memasukkan Fiqh Aulawiyyat (Fiqh Keutamaan) dalam silibus Kursus Asas Haji bagi memberikan pendedahan awal tentang memahami keutamaan dalam tindakan dan ibadah seterusnya memberi pencerahan tentang erti sebenar konsep istita’ah yang merangkumi kemampuan harta, kesihatan, keselamatan dan lain-lain.
Dengan mengambil langkah-langkah ini, diharapkan masalah penipuan visa haji dapat dikurangkan, seterusnya memastikan keselamatan dan kebajikan jemaah terpelihara, serta pengurusan giliran dapat dilakukan dengan lebih efisien dan adil selain melindungi jemaah dari menjadi mangsa pihak yang tidak bertanggungjawab. Ia juga dapat meneruskan momentum kecemerlangan pihak pengelola haji diketuai oleh Tabung Haji yang mendapat pengiktirafan dunia dengan memastikan mekanisme pemilihan dan penawaran haji yang relevan dengan peredaran masa selari dengan penambahan jumlah penduduk Malaysia saban tahun.-UTUSAN
DR. MOHAMED RASHID AB RAZAK
Timbalan Pengarah Pusat Islamisasi Merangkap Pensyarah Kanan Jabatan Undang-undang Islam Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)











